PENGUMUMAN

HARAP MAAF.. LAMAN INI SEDANG DIUBAISUAI..

Friday, July 03, 2009

Bulan Rejab


Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah kerana masih lagi memberi kesempatan dan keizinan kepada saya untuk menambah post dalam Destinasibaru.blogspot.com ini. Sebelum saya menulis dengan lebih panjang, suka saya mengajak semua pembaca muslimin dan muslimat supaya berdoa kepada Allah sepertimana yang telah didoakan oleh Rasululllah SAW;

“Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab dan bulan Sya’ban dan sampaikanlah kami di bulan Ramadhan”

Dalam konteks doa ini, kita mengharapkan Allah sampaikan kita dalam bulan Ramadhan. Mudah-mudahan doa kita panjatkan dimakbulkan oleh Allah. Ingin saya bertanya sesuatu kepada anda, apakah yang perlu anda lakukan sebelum anda mengambil peperiksaan? Adakah anda perlu membuat persediaan terlebih dahulu atau sebaliknya? Ya. Saya yakin mesti anda akan menjawab saya akan lakukan persediaan terlebih dahulu, betul kan. Begitu juga dengan bulan Rejab dan Sya’ban. Allah telah datangkan bulan Rejab dan Sya’ban adalah untuk memberi peluang kepada hambanya dalam membuat preparation. Dua bulan ini merupakan bulan persediaan bagi orang beriman untuk memasuki satu bulan yang cukup mulia lagi barakah. Ada juga hukama berkata bulan itu(iaitu bulan Ramadhan) merupakan kekasih kepada orang beriman. Nabi SAW sendiri telah mengambil kesempatan bulan persediaan ini untuk memperbanyakan amalan-amalan soleh. Sebagai contoh, Rasulullah banyak berpuasa di bulan Rejab sehinggalah seminggu sebelum Ramadhan, Rasulullah isikan malam dengan berqiamullail dan sebagainya. Itulah contoh ikutan terbaik untul seluruh umat.

Bulan rejab merupakan salah satu bulan dalam bulan Islam. Ia juga merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh orang beriman. Di bulan inilah terjadi suatu peristiwa yang sungguh menakjubkan. Ya. Peristiwa Isra Mikraj namanya. Tetapi setakat mana kita memahami dan menghayati peristiwa yang sering diperkatakan itu? Pada kali ini saya ingin berkongsi mengenai peristiwa Isra Mikraj seperti firman Allah;

“Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanNya(Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram(di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa(di Palestin), yang Kami berkati sekelilingya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda(kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Ayat 1, Surah Al-Isra’


Peristiwa ini merupakan satu perjalanan Nabi SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa ke ‘Sidratul Muntaha’(langit ke tujuh). Perjalanan yang cukup panjang ini telah dilalui oleh seorang kekasih Allah,Muhammad SAW dalam masa satu malam. Mengikut logikanya ia tidak masuk akal tetapi hakikatnya inilah kebesaran dan kekuasaan Allah Wbt. Dia mampu membuat segala-galanya mengikut kehendakNya. Pada malam itu Allah telah mengutuskan seekor binatang yang dikenali Buroq untuk dijadikan tunggangan kekasihNya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa seterusnya menuju ke langit ke tujuh. Pergerakan binatang tersebut cukup laju. Jika ingin dibandingkan dengan kilat, buroq lebih laju.

Semasa perjalanan Baginda, Allah telah memperlihatkan kepadanya perbagai peristiwa yang mana sebelum ini tidak dapat dilihat oleh sesiapa samada nabi-nabi sebelumnya mahupun makhluknya. Di situ Baginda berjumpa dengan para Anbiya’ dan semuanya memgucap salam ke atas Baginda. Peristiwa yang penting dalam Isra’ Mikraj ialah penurunan satu kewajiban solah ke atas orang Islam. Pada awalnya Allah telah memerintah solah 50 kali dalam sehari tetapi dengan kasih sayang Baginda ke atas umatnya, Baginda memohon kepada Allah permudahkan solah sehingga dijadikan kewajiban solah dalam sehari hanya 5 kali iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya’. Itulah kasih-sayangnya ke atas umatnya.

Saya rasa setakat itu dahulu dari saya, segala yang kurang itu datang dari kelemahan diri saya sendiri dan segala kebaikan datang dari Allah. Sesungguhnya Dia yang Maha segala-galanya. Akhir kalam, semoga kita dapat lakukan terbaik dalam bulan Rejab dan Sya’ban dan mudah-mudahan amalan kita diberkati oleh Allah Wbt.

Wallahua’lam.