PENGUMUMAN

HARAP MAAF.. LAMAN INI SEDANG DIUBAISUAI..

Sunday, October 30, 2011

10 HARI AWAL Zulhijjah


Bismillahirahmanirahim..

InsyaAllah kesempatan yang ada saya ingin berkongsi sedikit tentang bulan Zulhijjah.

PENDAHULUAN

Bulan Zulhijjah merupakan antara satu bulan yang cukup tinggi nilainya di sisi Islam. Kenapa? Kerana 10 hari terawal Zulhijjah telah disebut di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW akan keberkatan yang dilimpahi Allah - satu berita yang tidak dapat disangkal lagi keshahihan kerana ianya adalah wahyu dari Allah SWT sendiri. Jom bersama kita lihat satu per satu!

Di dalam Al-Quran, Allah SWT menyebutnya dalam surah Al-Fajr, ayat 1-3;


al-fajr2 
"Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah), dan yang genap dan ganjil"

Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin. Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah. Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh dengan kelebihan. Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah kerana berlakunya lailatul qadar.

Apa kata Nabi SAW pula?


“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”
(HR Bukhari)

“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah). 
(HR Ahmad)

“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” 
(Riwayat Muslim)
Dan banyak lagi hadis berkaitan dengannya. Boleh anda mencarinya sendiri di rata-rata tempat sama ada dalam kitab atau laman sesawang. Tapi kenalpastilah dahulu ia benar dan shahih!

APA AMALAN YANG DIANJURKAN?

1. Tidak lain dan tidak bukan sudah tentu ibadah Haji dan Umrah yang akan menjadi sebaik-baik amalan. Antara hadis yang berkaitannya ialah ;

“Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah – . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi ;

“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim Rahimahullah pula meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

 3. Hari yang digalakkan untuk beribadah tidak kira bentuk apa-apa pun sebagaimana hadis nabi ;

"Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, “Bukankah jihad fi sabililllah?” Jawab baginda, “Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit.” 
(Riwayat Al-Bukhari)

 4. Melakukan Ibadah korban. Sebagaimana dalam Al-Quran telah menyebut di dalam surah Al-Hajj, ayat 37 :

 "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."

Ada banyak lagi amalan yang boleh dilakukan padanya dan di atas adalah sebahagian.

KESIMPULAN

10 hari awal bulan Zulhijjah initidak kurang hebatnya dengan hari-hari dalam bulan Ramadhan misalnya. Kehangatan yang dirasa dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan seharusnya dirasa pada 10 hari terawl bulan Zulhijjah. Mudahan amalan-amalan yang dilakukan padanya diganjari Allah SWT sebagai amal soleh dan mendapat pahala dan rahmat dari Allah SWT.
SELAMAT MENJALANI IBADAH!

Wallahu a'lam..

*Anda juga boleh membaca lebih artikel yang berkaitan dengan 10 hari Zulhijjah di:

dan lain-lain..

MASA dan KITA

 Masa terus berjalan detik sedetik

Bismillahirahmanirrahim.. Masih diizinkan-Nya untuk terus hidup di muka bumi ini...

InsyaAllah kali ini saya akan cuba tampil bersama satu peringatan bersama.

MASA DAN KITA

Jika anda cuti sekolah atau belajar dan anda pulang ke kampung halaman, apa yang anda akan lakukan?

Nak pergi jalan-jalan?  Ziarah kawan-kawan? Nak pergi melancong? Nak beli itu dan ini?

Tapi, jika perancangan itu tidak terlaksana, apa yang akan dirasa?

Bosan? Tak tau buat apa? Entah? Tidur? Mungkin itu jawapan kita, bukan? Tetapi itulah yang terjadi dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari. Dan daripada sebab itu kita akan mendapati masyarakat kini lebih suka kepada perkara-perkara dianggapkan membuang masa seperti main game, tidur, pergi tempat-tempat hiburan, layan youtube dan layan movie.
Sedar atau tidak, kadang-kadang kita juga termasuk dalam golong sedemikian rupa dan iulah dinamakan realiti. Jadi, jom kita berbicara mengenai ini.

APA PUNCANYA?


Saya ada beberapa pandangan dan tidak mengatakan pandangan ini benar.Sekadar ingin peringat-memperingati. Antaranya:

1. Sikap terhadap ruang masa.

Masa tidak pernah berhenti walau seketika. Ia akan tetap berjalan tanpa henti. Jadi, tindakan kita juga seharusnya begitu - terus berjalan tanpa henti. Apa maksud itu? Ya. Terus mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat. Tapi.. Saya tidak tahu buat apa? Itu dinamakan alasan. Sebagai seorang muslim, kita ketahui ajaran Islam bukanlah agama yang menyulitkan atau menyusahkan tetapi merupakan ajaran cukup mudah dan lapang. Jadi, tolak ketepi sebarang bentuk alasan yang menipu  itu. Lakukanlah apa jua perkara asalkan tidak bercanggah dengan Islam.

2. Kelalaian terhadap diri.

Pepatah ada menyatakan: Jika kamu tidak menyibukkan dengan kebaikan, keburukan akan menyibukkan kamu. Benar pepatah itu. Jika kita perhatikan hari demi hari, corak perubahan terhadap diri akan berubah dari semasa ke semasa mengikut pengisian masa yang dilakukan. Jika benar-benar merancang ke arah kebaikan, insyaAllah kebaikan yang akan diperolehi. Tetapi, jika tiada perancangan yang dilakukan, maka masa yang akan membunuh kita dengan kelalaian.

JOM ATASI

1. Mengerti perjalanan masih jauh


Perjalanan sebenar adalah perjalanan yang tiada penamat. Jadi, bekalan yang bakal dibawa juga perlu dipersiapkan bagi perjalanan yang infiniti itu. Tidak cukup sekadar 'ala kadar' sahaja. Terus tambah dari semasa ke semasa.

Bila dan bagaimana? Hari yang dilaluilah jawapannya. Jadikan hari-hari yang mendatang diisi dengan perkara-perkara yang meng'untung'kan diri dan itulah yang akan dijadikan bekalan. Dah buat perkara wajib, cuba pula lakukan perkara-perkara yang sunat pula. Dah tinggal perkara-perkara yang haram, cuba hindari perkara-perkara yang syubhah pula. Dan begitulah seterusnya. Jadikan hari kemudian lebih baik daripada sebelumnya.

2. Cari alasan untuk di'tranfer'kan kepada bekalan.


Dunia sekarang makin maju dan canggih, bukan? Dengan Facebooknya, Blognya, kemudahan infrasrukturnya, kemudahan pengangkutannya dan banyak lagi perkara yang dahulunya tidak ada tetapi sekarang sudah ada. Biarlah teknologi terus berkembang asalkan kekreativiti kita juga terus berkembang dengan menjadikan segala jua perkara dijadikan ibadah yang diganjari pahala dan seterusnya menjadi bekalan yang  berguna untuk menghadap-Nya nanti. Gunalah teknologi untuk mebuat kebajikan misalnya, menyebarkan kefahaman dan sebagainya.


PENUTUP

Jangan biarkan diri terus dibuai mimpi dan permainan dunia. Masa hanya datang sekali dan kematian belum diketahui. Jadi, teruslah berusaha mencari perkara-perkara yang mampu men'tranfer'kannya kepada ibadah dan mudahan dijadikan bekalan berjumpa dengannya kelak.

Akhir kata, bersama kita perbaiki diri dari semasa ke semasa.

Wallahu a'lam..

Tuesday, October 04, 2011

Puisi: Kekuatan pada KEBERGANTUNGAN

Bismillah.. Dengan nama-Nya saya cuba untuk menukil sebuah puisi buat diri ini yang sedang mencari kekuatan..

PUISI: Kekuatan pada kebergantungan


Kini,
Diri ini kembali terkapai-kapai
Mencari kembali sinaran kekuatan
Yang makin hilang dibuai noda

Tapi 
Aku tidak mahu diri membiarkan begitu
Mengikut alunan mimpi yan tidak kemana
Aku perlu mencari kembali
Kekuatan yang lusuh bertukar baru
Agar yang dimpi menjadi realiti

Ku tahu
Kekuatan sebenar datang dari-Nya
Yang meletak diri dan jiwa pada yang ESA
Tanpa sedikit ragu dan lesu
Walau bagai dibiarkan kesepian
Kerna itulah ujian

Tapi bagaimana?
Kekadang fana dunia membatalkan harapan itu
Lantas memesongkan diri jatuh ke bawah
Penyebab kebergantungan pada-Mu makin nipis
Tiada terdaya melain kembali pada-Mu semula

Oh kebergantungan
Bisa dilihat mudah oleh dunia
Namun hakikat sukar dari segi melaksana
Ia bukan seperti bingkai gambar
Yang terpampang di dinding rumah
Dengan meletak sepenuh harapan padanya

Hakikat
Aku perlu kembali pada-Mu
Diri ini perlu bangkit dan sedar
Dari dibuai mimpi dan angan kosong
Dan kembali menyerah harapan
Kepada-Mu Yang Satu
Bukan lagi manusia
Makhluk seperti aku jua

"Nilaian kekuatan sebenar datang dari sejauh mana pengharapan pada Allah.."

Hamba yang lesu
UniSZA
04102011

Sunday, October 02, 2011

DISEBALIK sebuah perjalanan

Terus mencari kehidupan

Bismillah.. Dengan nama-Nya saya dizinkan-Nya untuk terus berjalan di muka bumi-Nya lagi..

Pertama, utama dan selamanya seperti biasa kita terus melafaz syukur pada-Nya yang satu lagi Kuasa. Tiada yang layak untuk disembah melainkan Dia. Alhamdulillah. Itulah tanda kasih hamba kepada Tuhan pemberi nikmat.

Dalam keinginan nafsu pagi, cuba untuk diri melawan kehendak nafsu yang selalu menipu dan banyak kita tertewas dengannya walaupun bukan dengan senjata, betul? Jadi, beginilah salah satu cara kita melawan kehendak nafsu, mudahan dikira disisi-Nya sebagai amal soleh.

Teladan disebalik sebuah perjalanan

Kelmarin. 1 Oktober 2011. Hajat hati kecil ini memang hajat nak pergi kenduri walimah anak Dr Abdullah Sudin b Ab Rahman a.k.a Ketua Eksekutif KTD. Wujud pula satu masalah - transport. Saya pun berfikir dan terus berfikir bagaimana hendak lakukan. Dengan izin Allah, ada satu ruang kosong yang boleh memuatkan seorang saja. Tapi, dengan cara saya menumpang famili orang lain. Daripada banyak orang yang hajat, saya salah seorang yang terpilih oleh Allah.

Alhamdulillah.

Fikir positif
Dari segi luaran saya berfikir, dia hanyalah seorang doktor yang membuka sebuah klinik swasta dekat sini - Kuala Terengganu. Perwatakannya dari jauh seperti insan biasa yang tidak punya apa-apa. Sekali jumpa, itulah tanggapan yang terhinggap di benak kepada kita termasuk saya.

Tapi, kita belajar adalah untuk berfikir positif dengan setiap persekitaran dan insan, bukan? Ya, itu yang saya pegang. Tugas kita bukan untuk mendakwa atau mencop si fulan itu dan ini. Biarlah dahulu semua perkara itu, cuba kita berfikir positif dengan mengatakan 'mungkin dia ada apa yang aku tidak ada'.

Selepas subuh, saya cuba menghantar mesej kepada dia berikutan hajat saya. Tidak lama selepas itu, dia hubungi saya semula. Berfikir panjang juga sebab diberitahu kepada saya hanya seorang saja yang boleh ikut serta. Bukan apa, saya ini bukanlah seorang yang begitu peramah dan mesra. Jadi, agak segan itu ada.

Tidak lama kemudian, saya memutuskan untuk pergi juga. Fikir saya, saya hendak mendapat sesuatu walaupun saya tidak tahu apa yang bakal terjelma. Itu terserah pada Allah.

Disebalik perjalanan

Perjalanan pendek bermula pabila matahari mula menegak di atas kepala. Perasaan negatif yang ada di hadapan cuba saya kikiskan. Berfikir positif diletak didahului.

Apabila diteliti satu per satu, banyak perkara yang boleh saya pelajari. Sepanjang perjalanan, saya dapat melihat pergerakan mulut seperti terkumat kamit. Bunyi yang disebut itu tidak lah kuat tapi samar-samar. Hendak katakan mengunyah gula-gula bukan, hendak katakan makan juga bukan. Sungguh menakjubkan rupanya dia sedang berzikir.

"Astaghfirullah al-'azim.."

Itulah antara kata-kata yang saya sedar. Dia tidak berasa jemu dengan berzikir. Jika difikirkan, itu macam hipokrit disebabkan ada 'penumpang baru'. Tapi, sama sekali saya menolak kenyataan itu. Mustahil perjalanan yang mengambil masa 3 jam untuk sampai kemudian pulang semula dalam keadaan dia mampu melaksanakan tanpa jemu. Lagipun, itu bukan yang pertama saya dengar. Sudah beberapa kali telinga ini terdengar dan diperlihat tabiaatnya itu.

Ternyata, dia seorang yang hebat. Zikir dan mulutnya tak dapat dipisahkan.

Tiada keperluan kita teruskan

Ini satu lagi perkara yang saya anggap boleh diambil iktibar. Sewaktu perjalanan pulang dari Pengkalan Chepa, Kelantan menuju ke Kuala Terengganu, isterinya meminta hajat untuk shopping di Kota Bahru. Biasalah, datang dari jauh-jauh bukan tak nak singgah, bukan? Kalau saya mesti hendak singgah juga. Tapi, saya kagum dengan respon dia sebagai seorang suami.

"Nak beli apa? Kalau tak ada apa, kita teruskan (perjalanan pulang).."

Kemudian, dia teruskan lagi.

"Kalau tak rancang nak beli apa, nanti jadi macam lain pula.. buang masa pula..."

Respon yang cukup lembut. Tidak sedikit pun tinggi suaranya tapi hikmah itu yang dijaga. Kepala saya pun angguk akur. Ada betul dan benarnya. MasyaAllah.

Jika nak beli tanpa rancang, mungkin boleh saja. Sudah la dia seorang doktor perubatan. Susah hendak dapat seorang suami yang bekerja doktor berfikiran begitu. Kemudian saya terfikir, itulah yang langkah yang betul dan terbaik.Dan itulah Islam anjurkan.

Tersirat disebalik sate

Semasa perjalanan pulang, anak-anaknya dan isterinya meminta hajat untuk singgah makan 'Sate Jabi' di Jabi (nama tempat). Mereka kata, sate ini terkenal di Terengganu. Walaupun pertama kali saya mendengar dan menikmatinya, saya akur dengan kenyataan tersebut. Bilangan pelanggan sate itu cukup ramai. Boleh dikatakan permintaannya sama dengan 'Sate Kajang'.

Puas makan, kami kembali ke kereta untuk meneruskan perjalanan pulang. Tidak lama kemudian, dia berkata,

"Nikmat sate, semua dapat.."

Sate dan nikmat. Satu ayat yang pedek. Saya cuba untuk memahami apa yang hendak disampaikannya. Dia menyambung lagi katanya itu,

"Nikmat sate, Allah bagi kat semua orang.. kita makan, orang cina makan, orang india makan...dan semua orang makan.. Tapi, nikmat Iman dan Islam, Allah tak beri kepada semua orang.. Dia akan beri kepada sesiapa yang Dia kasih saja dan Dia pilih.."

Oh, itu ka yang mesej yang hendak disampaikan. Betul lagi benar. Saya pun angguk setuju.

"..jadi, menjadi tanggungjawab kepada sesiapa yang dapat untuk sampai dan ceritakan nikmat Iman dan Islam itu kepada yang tidak tahu.."

Berat rasanya untuk menerima kenyataan itu. Bukan tidak setuju tetatpi itulah amanah.
Rupanya dia sedang berbicara tentang nikmat dan tanggungjawab. 2 perkara penting dan cukup besar.

Tepati masa untuk bersolat

Perkara akhir yang saya ingin kongsi adalah berkaitan dengan solat dan waktu. Dapat saya katakan, dia seorang yang bijak menjaga masanya. Apa tidaknya, setiap kali masuk waktu terus dia berhenti di masjid yang paling berdekatan dengan kami ketika itu. Memanglah perjalanan yang mencukupi syarat musafir digalakkan oleh Rasulullah untuk lakukan jama' qasar. Ditambah pula dengan waktu di awal waktu.

MasyaAllah, hebat! Dalam musafir pun mampu untuk menjaga waktu solat. Sepanjang perjalan setengah hari itu, dapat saya perhatikan di 2 masa waktu solat - Zohor dan Maghrib. Bukan kata awal waktu tunggu apabila dah solat tetapi kedua-dua waktu itu kami dapat bertakbiratul ihram sekali dengan imam. Alhamdulillah.

Siapakah dia?

Perjalanan mencari siapa

Banyak kali saya sebut 'dia' dan 'dia', bukan? Siapakah dia? Dialah salah seorang murabbi dan insan yang saya kagum. Si 'dia' itu bernama Dr. Azman.

Semoga Allah berkati segala perilaku dan kerjanya.

Akhir

Pepatah Arab ada menyebut,

"Hikmah orang tua, pada himmah (semangat) orang muda"

Satu pepatah yang cukup banyak makna tersirat. Benar. Sebab itu perlu untuk kita yang berjiwa dan berdarah muda untuk mencari hikmah orang tua. Disebabkan umurnya yang tualah penyebab kita perlu mencari mutiara yang terletak pada dirinya. Ketepikan semua sangkaan yang terbelenggu di fikiran kerana itulah penyebab kita sukar untuk mencari hikmah disebaliknya.

Akhir kata, mudahan Allah menerima segala amal yang telah dilakukan. Walaupun ada beberapa perkara lagi yang buat saya kagum dengan keperibadiannya, tapi cukuplah sekadar itu dahulu. Itu pun susah rasanya saya nak amalkan.

Wallahu a'lam..