PENGUMUMAN

HARAP MAAF.. LAMAN INI SEDANG DIUBAISUAI..

Sunday, February 13, 2011

Hujung minggu penuh pahit dan manis


Kemanisan dirasai

Bismillah... Dengan nama-Mu saya menulis..

Terasa begitu terisi hari ini buat diri saya. Begitu asing dari hari-hari yang lain. Entah mengapa. Tidak tahu puncanyanya. Seolah-olah Dia menyusun dan memprogramkan aktiviti saya pada minggu ini. Hanya lafaz kalimah alhamdulillah mampu diucapkan. Terasa sungguh indah dengan masa yang pantas bergerak. Tanpa diminta ia terus berjalan. Dan perjalanannya bermula pada hari khamis. Tanpa diduga, suatu perancangan yang indah dinimati.

Hari khamis (10/2/2011)

Bermulanya pada hari khamis, pagi itu saya bersama sahabat sekerja menjalankan satu tugasan yang diserah kepada kami iaitu menjaga pelajar tahap satu beriadhah. Aktiviti saya pagi itu penuh dengan keriangan, keriuhan, gelagat dan karenah pelajar tahap satu. Semuanya berjalan sebaik sahaja rutin harian persekolahan berjalan seperti biasa - perhimpunan pagi, bacaan al-Quran, hafalan hadis dan hafazan al-Quran. Ini menandakan hari itu hari khamis, tahap satu dijadualkan kelas pendidikan jasmani.

Di padang permainan

Semasa perhimpunan pagi, Ustaz Muhtad berjumpa dan bertemu kami. Beliau membawa satu berita. Kami semua mengelinginya. Beliau pun mula bermadah dalam keadaan sederhana selepas sahaja kami berlima bersalaman dengannya.

“Antum nak ikut misi banjir Johor tak dengan Haluan Kedah?..”

Saya pun memandang muka sahabat-sahabat. Semuanya tersenyum. Sudah pasti kami inginkan dan berhajat. Pendek kata, Allah permudahkan untuk kami bersama-sama mencurahkan khidmat bakti membantu saudara-saudara yang dalam kesusahan. Bukan senang mendapat peluang begitu. Saya cukup bersyukur. Tetapi kebuntuan berlaku kepada saya. Mengikut perancangan, saya perlu menghadiri latihan kereta. Saya pening bersendirian. Susah untuk membuat keputusan. Alhamdulillah, selepas berfikir panjang, dengan izin Allah, Dia menyusun untuk saya mengikut misi tersebut. Itupun sesudah memaklumkan kepada keluarga dan jurulatih latihan kereta saya.

Penyusunan Ilahi berikutnya menetapkan untuk kami mewakili pengetua sekolah ke Majlis Penyerahan Skim Pinjaman Buku Teks ( ta’lim arabi)untuk sekolah-sekolah agama di negeri Kedah yang akan disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan. Satu-satunya peluang kami untuk merasai menghadiri ke majlis besar seperti itu. Majlis tersebut akan diadakan di kediaman rasmi menteri besar sendiri. Ia merupakan satu peluang dan kesempatan yang besar untuk saya tambahan pula, saya diamanahkan oleh pengetua Sekolah Agama At-Toyyibah, Ustaz Ahmad Muhtad untuk mewakilinya mengambil skim tersebut daripada menteri besar. Terasa begitu bersyukur. Tanpa diminta, ustaz secara spontannya mengamanahkannya. Bicara hati kecil tidak layak diri ini untk mewakili tempatnya. Sudahlah baru bertugas di sekolah tersebut. Apa-apa pun, saya anggap itu semuanya didikan Allah untuk saya.

Menteri besar sedang keluar dewan..kiri(azhar) dan kanan(suhaib)

Berada di sekolah pagi, tengah hari bergerak ke kediaman menteri besar, seterusnya berehat dan berkumpul di Sekolah Rendah Ummi, Alor Star untuk persiapan ke misi pada malam itu. Walau penat dirasa pada zahir, tapi semangat di jiwa tak pernah surut.

Perjalanan misi bermula pada jam 8.30 malam. Rombongan dari Kedah tersebut telah dianggotai dengan bilangan 12 orang – 2 orang pak cik (Pak cik Kadir dan Pak Ridwan), 2 orang abangsenior ( Abg Fadhli dan Abg Asyraf), 7 orang remaja ( saya, Azhar, Syahm, Fitri, Ikhwan, Ammar dan Hasan Salimi) dan seorang adik ‘kecil’ ( Adik Abduh, anak pak cik Kadir) dengan berkenderaankan dua buah kereta (Exora dan Avanza). Perjalanan ke negeri hujung selatan semenanjung Malaysia itu bergerak dengan penuh ceria dan gembira. Semangat dan kesungguhan pak cik-pak cik dan abang-abang senior menambahkan semangat untuk terus berjuang dan berkhidmat seperti mereka. Isteri ditinggalkan di rumah, anak-anak dipisahkan sebentar dan perancangan lain terpaksa ditangguhkan dahulu. Semua berlaku atas tolakan keimanan yang utuh sehingga nampak keutamaan untuk berkerja dengan amal yang lebih mulia.

Sepanjang perjalanan pergi, kebanyakkan masa diisi dengan kerehatan jasad. Maklumlah malam katakan. Tiba di sana jam 8 pagi. Misi ini tiba di lokasi selepas 11 jam perjalanan dengan beberapa lokasi berhenti termasuk 2 jam berehat di Ayer Keroh. Tetapi, Alhamdulillah tiba juga di destinasi yang dituju.

Hari Jumaat (11/2/2011)

Pagi Jumaat indah sekali. Saya pada ketika itu sudah berada di Batu Pahat, Johor. Jam ketika itu lingkungan 8 pagi. Rombongan kami tiba di Sri Medan. Kami berhenti di sebuah warung di kawasan itu. Terkejut saya bila melihat ada sahabat-sahabat saya yang tinggal di Johor turut serta di warung itu juga. Rupa-rupanya mereka sudah lama bertapak di situ untuk menjalankan misi kemanusiaan bantuan mangsa banjir di Johor. Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Medan merupakan tempat pusat gerakan bilik operasi bagi kawasan tersebut dan mereka semua berada di situ sejak beberapa hari awal. Hampir kesemua remaja samada lelaki atau perempuan yang terlibat dalam misi terebut adalah graduan JDK 10/11. Mudahan semangat yang membara ini tidak terpadam setakat ini sahaja.

"Jangan semangat masa sekarang je..masuk Universiti susah nak cari (untuk bekerja).."

-kata seorang abang senior

Di situlah bermulanya titik keringat perlu dicurahkan. Selepas sahaja perut diisi penuh, badan pula perlu bersedia mencurah bakti. Lokasi pembersihan kami ialah masjid Kg Warijo, Tadika dan dewan orang ramai. Bermula pagi berakhir lewat petang. Kelitihan terasa bersama. Kerjasama dan ukhuwah semakin rapat semakin dirasa. Bekerja bersama, makan bersama, berehat bersama dan semuanya bersama. Walaupun terdapat juga pahit sepanjang kebersamaan tetapi kemanisan dirasai juga dan menandingi kepahitan.

Pembersihan masjid Warijo

Syahmi membersih kaki masjid


Pembersihan tadika berdekatan

Selepas kerja pembersihan dewan orang ramai

Pengisian malamnya pula ialah bermesra antara ahli rombongan misi. Sedikit sebanyak banyak pengalaman yang belum kami lalui diberitahu. Dari pengalaman suasana belajar sehinggalah berumah tangga. Disitulah baru kami lebih mengetahui bahawa ilmulah yang memandu kita untuk terus mengharunginya dan praktikal (amal) berdasarkan ilmu yang difahami juga perlu seiring. Begitulah aktiviti buat hari kedua bagi hujung minggu ini dan hari pertama buat saya menjejaki bumi Johor. Penutup buat hari itu kami beristirehat di Masjid Kg Warijo, Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

Hari Sabtu (12/2/2011)

Hari kedua mula menyapa. Subuh berjemaah telah dilaksanakan di masjid itu. Selepas itu, kami bersiap untuk terus berangkat keluar dari masjid untuk lokasi lain. Sapaan orang kampung yang awalnya pudar kelihatan kini ceria dan gembira terpaut pada wajahhnya. Seronok di hati kami bila mendapat sambutan dan raian orang di sana. Tetapi, perpisahan menakdirkan kami perlu berpisah dangan mereka.

Hari kedua pula ialah misi membersihkan sebuah sekolah – Sekolah Agama Sri Medan Batu Pahat. Pembersihan ini disertai pula oleh sahabt-sahabat dari Selangor. Penambahan ahli misi membuatkan tugas dilakukan dilakukan sedikit senang. Seronok benar jika kita beramal dengan penuh kerelaan. Kerja pun ceria dan seronok.

Pembersihan di Sekolah Agama Sri Medan

Bergambar sejenak

Itulah bantuan yang terakhir buat kamisebelum kami balik pusat operasi untuk persiapan pulang. Maklumlah orang kedah bekerja pada hari Ahad. Hendak tidak terpaksa pulang pada tengah hari juga. Penat memang penat. Tapi kepenatan terpadam bila melihat kelihatan dan kepenatan pak cik dan abang-abang tidak pernah padam. Jika dilihat dengan benar, mereka lebih berusaha dan gigih bekerja. Tambahan memandu jauh dari utara ke selatan.

Pendek cerita, jam lingkungan pukul 2 petang. Rombongan kami mula berangkat keluar untuk pulang ke negeri asal. Dan perjalanan pulang agak istimewa terjadi bila secara tidak dirancang pak cik-pak cik nak bawa kami makan sate kajang di Kajang. Rezeki menjamah kita pun bersyukur. Selepas sahaja dari itu, kami meneruskan perjalanan sehingga jam 12 tengah malam kami sudah berada di Sekolah Rendah Ummi (SeRU), Alor Star. Dan dari itu Abg Fadhli pula menghantar kami ke sekolah agama At-Toyyibah – tempat kami mentetap. Alhamdulillah, jam lingkungan jam 1 pagi kami sampai di sini dengan selamat. Walau tidak selesa dengan kesempitan di dalam kereta, akhirnya kami dapat juga tiba. Semuanya dengan izin Allah.

Rezeki bercucuran dari Ilahi


Selepas selesai makan sate kajang


Hasan sedang memerhati pinggan yang sudah kosong

Mudah-mudahan sepanjang perjalan kami, Dia menerima sebagai amal soleh yang diredhai. Perjalanan ini penuh kepahitan dan kemanisan yang sukar diungkapkan.

Bersama menjalankan misi..orang tempatan dengan, HALUAN Johor, HALUAN Kedah dan HALUAN Selangor

Wallau a’lam…

p/s – Maaf post ini tak beberapa sistematik dan menarik. Disiapkan 50% dalam perjalanan pulang dalam kereta dan selebihnya di sekolah dekat Changlun.

Segala yang baik jadikan teladan dan yang cerong jadikanlah sepadan. Moga sama-sama kita jadi hamba yang sentiasa mengejar keredhaan Allah.

Wednesday, February 09, 2011

Sahabat sejati

Bismillah.. Dengan lafaz ini saya mulakan menulis..

Alhamdulillah, selagi lagi saya mengatur syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk saya kembali menulis dalam laman ini. Hampir sebulan lamanya laman ini tak di'update'. Bukan apa, cuma tidak diberi keizinan. Hajat hati memang nak selalu update. Tapi nak buat bagaimana. Satu demi satu masalah datang tanpa diminta dan diduga. Apa-apa pun, bagi kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah perlu merasakan ia merupakan satu tarbiyah buat kita.

Ukhwah

InsyaAllah, untuk post yang pertama dalam bulan kedua ini, penulis akan berkongsi tentang sahabat. Kenapa agaknya tiba-tiba hendak menulis tentang sahabat? Ya, jawapannya bagi saya, perkara ini cukup penting dan sungguh bernilai bagi saya. Dan anda bagaimana? Bagi saya anda juga berpendapat sama seperti saya. Saya yakin anda juga mempunyai sahabat dan saya juga begitu.

Pendahuluan

Nilai sahabat

Sahabat. Satu perkataan yang cukup tersirat padanya beribu hikmat. Jika ia benar-banar dihayati dan merasainya. Pelbagai pendapat orang tentang sahabat. Ada yang berpendapat begitu, dan ada juga begini, dan macam-macam lagi. Betul? Bagi saya bagaimana pula?

Sahabat merupakan insan yang istimewa yang wujud untuk bersama-sama mengharungi dunia yang fana demi mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Dia akan bersama kita dikala senang mahupun susah. Seronok mahupun resah. Gembira mahupun sedih. Dan ketika berjuang mahupun jatuh tersungkur. Tidak semestinya hanya berdamping ketika keadaannya postif sahaja - senang, gembira, suka dan sebagainya. Tetapi dia bersama dengan kita selama-lamanya. Walaupun jarak yang memutuskannya, masa yang meninggalkannya dan usia yang memisahkannya, tetapi itu semua bukan halangan untuk kita berpisah.

Persahabatan abadan abada

Tapi, adakah semua itu akan terus kekal hingga ke hujung hayat dan ke akhirat? Ya, satu persoalan yang menarik dan mungkin ada yang mempersoalkannya. Apa kata kuncinya? Jalinkanlah hubungan kerana Allah dan berlandaskan syara'. Bahasa arabnya ukhuwah fillah. Inilah jawapannya. Andai kata kita bersemi hubungan dengan sahabat kerana Allah dan mengikut syariat Allah, insyaAllah terbentuklah ukhwah (persahabatan) yang akan berkekalan hingga ke Akhirat kelak.Dan itulah yang dipanggil ukhwah fillah abadan abada. Bukannya atas dasar peribadi, harta, pangkat dan rupa. Tetapi atas dasar keimanan kepada-Nya yang berbuahkan persahabatan yang mulia. Oleh itu, bersahabatlah dengan semua orang. Elakkan dari persengketaan dan permusuhan. Pasti kita merasai kemanisan yang terselit di dalamnya. Dan pasti kita menginginkannya!

Sahabat sejati

Ayuh lihat pula pandangan yang lain..

"Nikmat paling bernilai selepas nikmat iman dan islam adalah nikmat memeliki sahabat yang soleh dan jika kamu dapati wujud kasih sayang antara kamu dengannya maka peganglah ia dengan sunguh-sungguh.."
-Saidina Umar Al-Khatab-


"Sahabat adalah orang yang tidak mengiyakan kesalahan sahabatnya yang lain.."
-Us Mahadzir Mohamad-

"Sahabat ibarat mata dan tangan. Andai mata tangan terluka maka mata yang akan mengalirkan air mata. Lalu tangan yang akan mengesatkannya.."
-Sdr Afif Zaki-


Dan banyak lagi..dan saya yakin anda berpendapat tersendiri..

Penutup

Teguhlah bersahabat

Akhir kata, jalinkanlah persahabatan hanya kerana-Nya yang satu. Jagalah dan peganglah sahabat anda dengan benar-banar. Selitkanlah dia dalam doamu. Dan saya juga mahu bersahabat dengan anda semua..! Andai saya terjatuh dan tersungkur, andalah yang bergelar sahabat akan menarik dan berpaut.

Wallahu a'lam..

Friday, January 28, 2011

Musafir itu Indah


Bismillahirahmannirrahim..

Dengan nama-Mu, Allah saya menulis.

Pertamanya suka untuk saya mengatur syukur kepada-Nya kerana tiada pernah henti Dia (Allah) memberi nikmat kepada hamba-Nya. Tambahan pula diberi nikmat yang terbesar dalam kehidupan mukmin iaitu IMAN dan ISLAM. Alhamdulillah saya ucapkan.

Hari ini, merupakan hari saya cuti mingguan kerja. Tapi tidak bermaksud berhenti dalam melakukan semua perkara. Hanya sekadar cuti daripada mengajar pelajar di sekolah. Dengan izin Allah, Dia telah mengaturkan kami pada hujung minggu ini dengan pelbagai perkara baik yang mampu kami lakukan. Mengikut perancangan saya dan sahabat-sahabat yang sekerja di sekolah (Azhar Hilmi, Syahmi Ibrahim, Fitri Zakwan dan Al-Bashir), kami merancang untuk pergi ke Perlis pada hujung minggu ini (Jumaat dan Sabtu). Terdapat beberapa perancangan aktiviti yang telah dirancang antaranya ziarah rumah cikgu, bermalam di MATRI dan pulang ke rumah sebentar. Tidak lupa juga untuk melaksanakan program mandi-manda di Bukit Jernih. Mungkin beginilah kehidupan guru sambilan pra-bujang. Pada hari persekolahan berada di sekolah. Pada hari cuti ada sahaja aktiviti dan program di luar sekolah. Perlulah saya bajetkan duit dan masa dengan lebih baik.

Tetapi susunan Allah sungguh cantik. Kami hari ini tidak jadi pergi ke Perlis disebabkan ada seorang sahabat kami, Ikhwan telah memanggil untuk datang ke Alor Setar membantunya sedikit program Aulad Banat di situ pada esok hari (Sabtu). Bila berfikir panjang, bagus juga dengan pengisian aktiviti sedemikian dalam kehidupan kami berlima yang hidup pra-bujang ini. Memanglah pada asalnya, nampak gaya macam tidak jadi sahaja pergi ke Alor Setar. Kalau boleh nak terus ke Perlis. Jimat sedikit duit yang digunakan. Faham-fahamlah hidup sebagai cikgu yang pra-bujang yang duit poketnya tidaklah beberapa banyak. Tetapi, ada sahabat-sahabat saya berpesan rezeki itu datang dari Allah. Kalau ada rezeki, syukurlah. Jika tiada, semua itu ujian. Dan kami masing-masing setuju dengan kata-kata tersebut. Ada benarnya.

Walaupun aktiviti mandi terpaksa diketepikan dan bermalam di MATRI dibatalkan, ia bukan halangan buat kami. Ini bermakna bukan lagi rezeki untuk kami berseronok bermain air. Mungkin Allah nak gantikan dengan perkara lebih berfaedah dan menarik. Hakikatnya apa yang saya rasa hari ini adalah sungguh indah. Saya diberi keizinan dari-Nya untuk bermusafir. Walaupun musafir kami singkat dan pendek, tetapi terdapat pelbagai perkara dan pengalaman yang baru kami dapat. Ukhuwah antara kami semakin serasi. Bersama di masa senang, bersama di masa susah dan bersama harungi kehidupan pra-bujang ini. Inilah ukhuwah.

Musafir kali ini mungkin singkat sahaja. Tetapi minggu ke hadapan insya Allah lebih panjang. Mudahan lebih bermanfaat dan terisi. Dan doakan kami sentiasa dalam pemeliharaan-Nya. Itulah hajat saya. Mungkin itu sahaja post kali ini. Musafir itu sebenarnya indah.

Fitri dan Bashir sedap menjamu selera di RFC

Seusai makan di RFC

Di dalam bilik homestay Salsabil


Ikhwan dan Bashir di luar Souq Al-Bukhary

Syahmi bergaya dengan handphonenya


Wallahu a'lam

Thursday, January 27, 2011

Pengalaman itu mendidik


Setiap sesuatu ada mula dan pengakhiran

Bismillahirahmannirrahkim...

Dengan nama-Mu saya menulis..

Pada kebiasaan, apabila kita bertemu dengan orang, antara soalan yang sering ditanya, " Dik nama apa?" atau "Kamu umur berapa?" atau "Tinggal di mana?". Betul tidak begitu yang sering terjadi dalam kehidupan seharian kita bila bertemu dengan orang. Tidak kiralah orang dikenali atau orang tidak dikenali atau juga orang yang dikenali tetapi lama tidak bersua atau sesiapa sahaja yang bergelar manusia. Apakah yang sebenar yang tersirat dari persoalan begitu ringkas dan mudah dijawab itu.

Allah Maha Mengetahui tahu apa yang tersirat an tersurat pada diri makhluk ciptaannya. Walaupun dengan soalan. Pelik! Kaitan apakah persoalan dengan hikmah yang tersirat? Cuba lihat dengan pandangan yang menyeluruh, kehidupan kita sebenarnya diselaputi dengan ribuan soalan. Dan soalan itu secara sedar atau tidak telah mengajar tentang suatu yang bermakna dalam kehidupan kita. Hakikat erti kehidupan. Ya, sebenarnya persoalan-persoalan inilah yang banyak membuka fikiran kita untuk lebih memandang kehadapan. "Apakah cita-cita kamu?", "Apakah kamu ingin semasa ini dan itu..?", "Mengapakah kita tidak boleh buat yang itu dan ini..?" dan bayak lagi. Tetapi masalah manusia sekarang tidak menjadikan persoalan yang dilontarkan itu sebagai satu anjakan dan tindakan untuk kita terus mengharungi dunia yang penuh fana ini.

Sekarang, kita berbalik pada pokok post saya tentang tiga persoalan yang hangat ditanya. Bagi saya, tiga persoalan itu hakikatnya ingin menyebut tentang pengalaman. Ya, jika diperhatikan. Nama, umur dan tinggal. Semuanya itu adalah bagaimana sejarah kehidupan kita. Dan ketiga-tiga persoalan ini berkait rapat. Ayuh kita meneliti.

Nama

Adakah ada sesuatu ciptaan tidak terdapat nama? Pasti jawapan dari anda akan menyatakan tidak. Begitu jua dengan saya. Nama berfungsi sebagai pengenalan pada diri atau identiti sesuatu benda. Makhluk dengan namanya yang tersendiri dan benda dengan jenama yang tersendiri. Dalam kita menjalani kehidupan, nama bertugas sebagai siapakah kita. Kita berjalan semuanya atas nama diri kita. Dan ini sebagai kayu ukur tahap keprinsipan seseorang. Jika dia seorang yang berprinsip sudah pasti dia akan menjaga maruah dan imej idenatitinya itu.

Umur

Umur. Umur menunjukkan kepada kita tentang perjalanan kehidupan. Ia akan menjadi pengukur sejauh mana kehidupan kita lalui. Bermulanya pada saat diri kita dilahirkan sehinggalah kita dipanggil pulang. Andai kita tidak mengenali berapa panjangkah tempoh kita lalui, susahlah untuk kita mengetahui apakah pengalaman yang kita dapat dalam sesuatu tempoh tertentu. Sebab itulah penting bagi kita yang bergelar manusia akan umur. Hatta barang pun ada umurnya. Bila barang itu dikeluarkan dan bila barang itu akan dijangkan tamat tempoh.

Tempat tinggal

Logikkah manusia tiada tempat tinggal? Jika tidak kenapa? Semestinya tidak. Ini kerana tempat tinggallah yang menjadi tempat teduhan dan perlindungan kita. Cuma ada sesetengah antara kita yang mewah dan ada juga sebaliknya. Tapi kehendak manusia yang inginkan mewah dan senang itu bukanlah suatu perkara yang penting dalam kehidupan. Ia hanya kehendak. Yang penting di sini keperluan kita iaitu adanya tempat tinggal.

Dari tempat tinggal itulah kita dibesarkan. Kita lalui pelbagai sejarah hidup yang senang, susah, pahit, manis, seronok dan sedih. Dan dari sejarah hidup itu terlahirnya pengalaman hidup. Dan di situ kita belajar pelbagai erti kehidupan. Tambahan pula bagi mereka yang sering hidup berpindah rumah. Sudah pasti banyak pengalaman yang dia dapat.

Untuk apakah pentinngnya tempat tinggal dalam pengalaman? Sudah pasti jawapannya untuk memahami kehidupan persekitaran kita. Budaya, adat resam, bahasa, loghat, bangsa dan agama. Semua perlu kita fahami sedikit sebanyak dalam memahami waqi' (suasana) semasa.

Nama + umur + tempat tinggal = pengalaman

Pengalaman

Sudah selesai kita bincang dengan setiap satu persoalan yang sering dilontarkan, cuba kita gabungkan tiga aspek sebentar tadi. Apakah hasilnya? Bukankah suatu pengalaman? Ya, benar. Ia adalah pengalaman kita berdasarkan sejarah yang telah kita lalui. Oleh itu, pandulah hari-hari yang mendatang dengan mengambil iktibar dan ibrah berdasarkan pengalaman hidup yang telah kita lalui. Laluilah perjalanan dengan menjaga maruah kita, gunakan tempoh yang ada sebaiknya dan memahami suasana.

Tetapi..

Ada antara kita yang sudah hidup hampir setengah abad tetapi tiada perubahan pada dirinya. Adakah kita terfikir kenapakah terjadi sedemikan rupa? Jawapannya mudah iaitu kerana pada dirinya tiada:
  1. Ilmu yang benar
  2. Amal yang baik
  3. Iman yang sohih

Kesimpulan

Gabungkah pengalaman dengan ilmu, amal dan iman. Insya Allah, hasilnya akan menjadi penglaman yang mendidik.

Formula:

pengalaman + ilmu + amal + iman = pengalaman yang mendidik

almari pengalaman

Harapannya semoga semua yang berlaku menjadi pengalaman yang mendidik dan terdidik. Dan ketahuilah bahawa pengalaman sebenarnya adalah mendidik. Pandukanlah pengalaman itu ke arah jalan yang positf dan lebih taqarrub (dekat) dengan Allah.

Wallahu a'lam..