PENGUMUMAN

HARAP MAAF.. LAMAN INI SEDANG DIUBAISUAI..

Monday, April 23, 2012

Nafsu dan diri pendosa

Memadam 'dosa' pensil

Bismillah. Alhamdulillah.

Pagi ini rasa sedikit ketenangan untuk menulis. (Mungkin baru bangun dari tidur..) Menulis apa yang terbuku dihati untuk diri sendiri. Itulah sebabnya kenapa saya terus menulis. Biar tak sehebat si penulis professional di luar sana, tetapi yakin dengan kuasa menulis ini. Kuasanya sungguh mengasyikkan.

"Kita ini dosa banyak. Jadi, bila ada yang terkesan dengan penulisan kita lalu berubah, moga-moga kita juga turut mendapat kebaikannya." pernah ditulis di laman saudara Qawiem Khairi via saudara Hilal Asyraf. Ya. Itulah kuasanya.

Kali ini suka untuk saya lebih kepada muhasabah diri sendiri. Bukan apa cuma kekadang risau akan penulisan yang terlalu tinggi sehingga lupa diri ini pendosa. Sebab itulah pentingnya untuk bermuhasabah.

Melalui hari-hari yang dilalui, saya cuba membuat satu nilaian untuk saya berfikir. Saya pernah berfikir, kenapa kitaa pernah bertaubat tetapi diri ini tetap sama. Apakah dosa kita itu besar? Atau mungkinkah kita ini hanya sekadar lafaz dan bersolat taubat sahaja? Atau bagaimana?

Apa yang saya fikir, ada beberapa perkara yang perlu kita tahu hakikat diri kita sebagai manusia dan hamba. 

Sebelum itu, analogi yang mudah untuk dinisbahkan dengan diri dan dosa seperti memadam titik yang dilakukan oleh si pensil. Walaupun berjaya untuk memadamkan, tetapi kesan pudar hitam masih ada di kertas tersebut.

1. Nafsu tidak pernah puas

Ini perkara pertama. Tidak cukup dengan itu. Tidak cukup dengan ini. Sudah satu, nak yang kedua. Sudah kedua, masih ingin cuba yang ketiga. Dan begitulah kesudahannya. Apa itu dan ini, tanyalah diri sendiri. Hanya kita dan Allah yang mengetahui.

Jika direnung semula, memang amat malu untuk menyata diri ini siapa. Malu dengan dosa yang dilalui. Malu siapa diri ini dengan Dia Sang Pencipta.

Moga keaiban diri terus dipeliharanya dan jangan sesekali dibuka dengan nafsu yang tidak pernah puas ini.

2. Nafsu bukan untuk dihalang

Sudah mengetahui hakikat nafsu. Dapat disimpulkan nafsu bukanlah untuk dihalang. Jika dihalang makin parah jadinya. Tetapi, pendekatan yang baik adalah dengan kita mendidik. Ya. Mendidik dengan cahaya Allah.

Tidak mungkin sesuatu yang sudah ditunangi dapat dipisahkan. Cuma tunang kita ini tidak pernah kita nikahi sehingga diri kita dinikahi oleh ajal.

(Jap, tunang di sini bukan dengan manusia ya. Sekadar teringat kata-kata murabbi saya - Cg Osman Aarof, manusia semua sudah bertunang. Tunang dengan nafsu/qarin.)

Sebab itu perlu untuk kita mendidik nafsu agar tunduk akur dengan hakikat sebenar. Dan fikirlah apa yang akan terjadi pada diri kalau nafsu dihilangkan begitu sahaja.

3. Bertaubat jangan ditinggal

Hakikat nafsu dan pendekatan nafsu sudah diketahui. Tapi, masih melakukannya?

Berusahalah untuk bertaubat. Sudah lalui, lakukalah sekali lagi. Tidak cukup dengan itu, bertaubatlah dan terus bertaubat. Pohonlah ampun dari Dia Yang Pemurah dan Maha Pengampun. Mudahan taubat hamba diterimanya.

Pandanglah dosa dengan pandangan iman, bukannya pandangan mata. InsyaAllah kita dapat merasai hinanya kita dihadapannya.

PENUTUP

Jangan sesekali offline dengan Allah. Sebab dia tidak pernah offline dengan kita. Walau Dia tidak ada fb seperti kita tetapi itulah hakikatnya. Kalau kita dengan fb pun asyik-asyik online. Bukan dengan Dia tak boleh kan?

Wallahu a'lam..
*tidak berhajat untuk menulis panjang kerana tidak begitu mahir dalam bab-bab begini untuk berkarya. Sekadar saling ingat-mengingati.. ^^

No comments: