PENGUMUMAN

HARAP MAAF.. LAMAN INI SEDANG DIUBAISUAI..

Sunday, October 30, 2011

MASA dan KITA

 Masa terus berjalan detik sedetik

Bismillahirahmanirrahim.. Masih diizinkan-Nya untuk terus hidup di muka bumi ini...

InsyaAllah kali ini saya akan cuba tampil bersama satu peringatan bersama.

MASA DAN KITA

Jika anda cuti sekolah atau belajar dan anda pulang ke kampung halaman, apa yang anda akan lakukan?

Nak pergi jalan-jalan?  Ziarah kawan-kawan? Nak pergi melancong? Nak beli itu dan ini?

Tapi, jika perancangan itu tidak terlaksana, apa yang akan dirasa?

Bosan? Tak tau buat apa? Entah? Tidur? Mungkin itu jawapan kita, bukan? Tetapi itulah yang terjadi dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari. Dan daripada sebab itu kita akan mendapati masyarakat kini lebih suka kepada perkara-perkara dianggapkan membuang masa seperti main game, tidur, pergi tempat-tempat hiburan, layan youtube dan layan movie.
Sedar atau tidak, kadang-kadang kita juga termasuk dalam golong sedemikian rupa dan iulah dinamakan realiti. Jadi, jom kita berbicara mengenai ini.

APA PUNCANYA?


Saya ada beberapa pandangan dan tidak mengatakan pandangan ini benar.Sekadar ingin peringat-memperingati. Antaranya:

1. Sikap terhadap ruang masa.

Masa tidak pernah berhenti walau seketika. Ia akan tetap berjalan tanpa henti. Jadi, tindakan kita juga seharusnya begitu - terus berjalan tanpa henti. Apa maksud itu? Ya. Terus mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat. Tapi.. Saya tidak tahu buat apa? Itu dinamakan alasan. Sebagai seorang muslim, kita ketahui ajaran Islam bukanlah agama yang menyulitkan atau menyusahkan tetapi merupakan ajaran cukup mudah dan lapang. Jadi, tolak ketepi sebarang bentuk alasan yang menipu  itu. Lakukanlah apa jua perkara asalkan tidak bercanggah dengan Islam.

2. Kelalaian terhadap diri.

Pepatah ada menyatakan: Jika kamu tidak menyibukkan dengan kebaikan, keburukan akan menyibukkan kamu. Benar pepatah itu. Jika kita perhatikan hari demi hari, corak perubahan terhadap diri akan berubah dari semasa ke semasa mengikut pengisian masa yang dilakukan. Jika benar-benar merancang ke arah kebaikan, insyaAllah kebaikan yang akan diperolehi. Tetapi, jika tiada perancangan yang dilakukan, maka masa yang akan membunuh kita dengan kelalaian.

JOM ATASI

1. Mengerti perjalanan masih jauh


Perjalanan sebenar adalah perjalanan yang tiada penamat. Jadi, bekalan yang bakal dibawa juga perlu dipersiapkan bagi perjalanan yang infiniti itu. Tidak cukup sekadar 'ala kadar' sahaja. Terus tambah dari semasa ke semasa.

Bila dan bagaimana? Hari yang dilaluilah jawapannya. Jadikan hari-hari yang mendatang diisi dengan perkara-perkara yang meng'untung'kan diri dan itulah yang akan dijadikan bekalan. Dah buat perkara wajib, cuba pula lakukan perkara-perkara yang sunat pula. Dah tinggal perkara-perkara yang haram, cuba hindari perkara-perkara yang syubhah pula. Dan begitulah seterusnya. Jadikan hari kemudian lebih baik daripada sebelumnya.

2. Cari alasan untuk di'tranfer'kan kepada bekalan.


Dunia sekarang makin maju dan canggih, bukan? Dengan Facebooknya, Blognya, kemudahan infrasrukturnya, kemudahan pengangkutannya dan banyak lagi perkara yang dahulunya tidak ada tetapi sekarang sudah ada. Biarlah teknologi terus berkembang asalkan kekreativiti kita juga terus berkembang dengan menjadikan segala jua perkara dijadikan ibadah yang diganjari pahala dan seterusnya menjadi bekalan yang  berguna untuk menghadap-Nya nanti. Gunalah teknologi untuk mebuat kebajikan misalnya, menyebarkan kefahaman dan sebagainya.


PENUTUP

Jangan biarkan diri terus dibuai mimpi dan permainan dunia. Masa hanya datang sekali dan kematian belum diketahui. Jadi, teruslah berusaha mencari perkara-perkara yang mampu men'tranfer'kannya kepada ibadah dan mudahan dijadikan bekalan berjumpa dengannya kelak.

Akhir kata, bersama kita perbaiki diri dari semasa ke semasa.

Wallahu a'lam..

Tuesday, October 04, 2011

Puisi: Kekuatan pada KEBERGANTUNGAN

Bismillah.. Dengan nama-Nya saya cuba untuk menukil sebuah puisi buat diri ini yang sedang mencari kekuatan..

PUISI: Kekuatan pada kebergantungan


Kini,
Diri ini kembali terkapai-kapai
Mencari kembali sinaran kekuatan
Yang makin hilang dibuai noda

Tapi 
Aku tidak mahu diri membiarkan begitu
Mengikut alunan mimpi yan tidak kemana
Aku perlu mencari kembali
Kekuatan yang lusuh bertukar baru
Agar yang dimpi menjadi realiti

Ku tahu
Kekuatan sebenar datang dari-Nya
Yang meletak diri dan jiwa pada yang ESA
Tanpa sedikit ragu dan lesu
Walau bagai dibiarkan kesepian
Kerna itulah ujian

Tapi bagaimana?
Kekadang fana dunia membatalkan harapan itu
Lantas memesongkan diri jatuh ke bawah
Penyebab kebergantungan pada-Mu makin nipis
Tiada terdaya melain kembali pada-Mu semula

Oh kebergantungan
Bisa dilihat mudah oleh dunia
Namun hakikat sukar dari segi melaksana
Ia bukan seperti bingkai gambar
Yang terpampang di dinding rumah
Dengan meletak sepenuh harapan padanya

Hakikat
Aku perlu kembali pada-Mu
Diri ini perlu bangkit dan sedar
Dari dibuai mimpi dan angan kosong
Dan kembali menyerah harapan
Kepada-Mu Yang Satu
Bukan lagi manusia
Makhluk seperti aku jua

"Nilaian kekuatan sebenar datang dari sejauh mana pengharapan pada Allah.."

Hamba yang lesu
UniSZA
04102011

Sunday, October 02, 2011

DISEBALIK sebuah perjalanan

Terus mencari kehidupan

Bismillah.. Dengan nama-Nya saya dizinkan-Nya untuk terus berjalan di muka bumi-Nya lagi..

Pertama, utama dan selamanya seperti biasa kita terus melafaz syukur pada-Nya yang satu lagi Kuasa. Tiada yang layak untuk disembah melainkan Dia. Alhamdulillah. Itulah tanda kasih hamba kepada Tuhan pemberi nikmat.

Dalam keinginan nafsu pagi, cuba untuk diri melawan kehendak nafsu yang selalu menipu dan banyak kita tertewas dengannya walaupun bukan dengan senjata, betul? Jadi, beginilah salah satu cara kita melawan kehendak nafsu, mudahan dikira disisi-Nya sebagai amal soleh.

Teladan disebalik sebuah perjalanan

Kelmarin. 1 Oktober 2011. Hajat hati kecil ini memang hajat nak pergi kenduri walimah anak Dr Abdullah Sudin b Ab Rahman a.k.a Ketua Eksekutif KTD. Wujud pula satu masalah - transport. Saya pun berfikir dan terus berfikir bagaimana hendak lakukan. Dengan izin Allah, ada satu ruang kosong yang boleh memuatkan seorang saja. Tapi, dengan cara saya menumpang famili orang lain. Daripada banyak orang yang hajat, saya salah seorang yang terpilih oleh Allah.

Alhamdulillah.

Fikir positif
Dari segi luaran saya berfikir, dia hanyalah seorang doktor yang membuka sebuah klinik swasta dekat sini - Kuala Terengganu. Perwatakannya dari jauh seperti insan biasa yang tidak punya apa-apa. Sekali jumpa, itulah tanggapan yang terhinggap di benak kepada kita termasuk saya.

Tapi, kita belajar adalah untuk berfikir positif dengan setiap persekitaran dan insan, bukan? Ya, itu yang saya pegang. Tugas kita bukan untuk mendakwa atau mencop si fulan itu dan ini. Biarlah dahulu semua perkara itu, cuba kita berfikir positif dengan mengatakan 'mungkin dia ada apa yang aku tidak ada'.

Selepas subuh, saya cuba menghantar mesej kepada dia berikutan hajat saya. Tidak lama selepas itu, dia hubungi saya semula. Berfikir panjang juga sebab diberitahu kepada saya hanya seorang saja yang boleh ikut serta. Bukan apa, saya ini bukanlah seorang yang begitu peramah dan mesra. Jadi, agak segan itu ada.

Tidak lama kemudian, saya memutuskan untuk pergi juga. Fikir saya, saya hendak mendapat sesuatu walaupun saya tidak tahu apa yang bakal terjelma. Itu terserah pada Allah.

Disebalik perjalanan

Perjalanan pendek bermula pabila matahari mula menegak di atas kepala. Perasaan negatif yang ada di hadapan cuba saya kikiskan. Berfikir positif diletak didahului.

Apabila diteliti satu per satu, banyak perkara yang boleh saya pelajari. Sepanjang perjalanan, saya dapat melihat pergerakan mulut seperti terkumat kamit. Bunyi yang disebut itu tidak lah kuat tapi samar-samar. Hendak katakan mengunyah gula-gula bukan, hendak katakan makan juga bukan. Sungguh menakjubkan rupanya dia sedang berzikir.

"Astaghfirullah al-'azim.."

Itulah antara kata-kata yang saya sedar. Dia tidak berasa jemu dengan berzikir. Jika difikirkan, itu macam hipokrit disebabkan ada 'penumpang baru'. Tapi, sama sekali saya menolak kenyataan itu. Mustahil perjalanan yang mengambil masa 3 jam untuk sampai kemudian pulang semula dalam keadaan dia mampu melaksanakan tanpa jemu. Lagipun, itu bukan yang pertama saya dengar. Sudah beberapa kali telinga ini terdengar dan diperlihat tabiaatnya itu.

Ternyata, dia seorang yang hebat. Zikir dan mulutnya tak dapat dipisahkan.

Tiada keperluan kita teruskan

Ini satu lagi perkara yang saya anggap boleh diambil iktibar. Sewaktu perjalanan pulang dari Pengkalan Chepa, Kelantan menuju ke Kuala Terengganu, isterinya meminta hajat untuk shopping di Kota Bahru. Biasalah, datang dari jauh-jauh bukan tak nak singgah, bukan? Kalau saya mesti hendak singgah juga. Tapi, saya kagum dengan respon dia sebagai seorang suami.

"Nak beli apa? Kalau tak ada apa, kita teruskan (perjalanan pulang).."

Kemudian, dia teruskan lagi.

"Kalau tak rancang nak beli apa, nanti jadi macam lain pula.. buang masa pula..."

Respon yang cukup lembut. Tidak sedikit pun tinggi suaranya tapi hikmah itu yang dijaga. Kepala saya pun angguk akur. Ada betul dan benarnya. MasyaAllah.

Jika nak beli tanpa rancang, mungkin boleh saja. Sudah la dia seorang doktor perubatan. Susah hendak dapat seorang suami yang bekerja doktor berfikiran begitu. Kemudian saya terfikir, itulah yang langkah yang betul dan terbaik.Dan itulah Islam anjurkan.

Tersirat disebalik sate

Semasa perjalanan pulang, anak-anaknya dan isterinya meminta hajat untuk singgah makan 'Sate Jabi' di Jabi (nama tempat). Mereka kata, sate ini terkenal di Terengganu. Walaupun pertama kali saya mendengar dan menikmatinya, saya akur dengan kenyataan tersebut. Bilangan pelanggan sate itu cukup ramai. Boleh dikatakan permintaannya sama dengan 'Sate Kajang'.

Puas makan, kami kembali ke kereta untuk meneruskan perjalanan pulang. Tidak lama kemudian, dia berkata,

"Nikmat sate, semua dapat.."

Sate dan nikmat. Satu ayat yang pedek. Saya cuba untuk memahami apa yang hendak disampaikannya. Dia menyambung lagi katanya itu,

"Nikmat sate, Allah bagi kat semua orang.. kita makan, orang cina makan, orang india makan...dan semua orang makan.. Tapi, nikmat Iman dan Islam, Allah tak beri kepada semua orang.. Dia akan beri kepada sesiapa yang Dia kasih saja dan Dia pilih.."

Oh, itu ka yang mesej yang hendak disampaikan. Betul lagi benar. Saya pun angguk setuju.

"..jadi, menjadi tanggungjawab kepada sesiapa yang dapat untuk sampai dan ceritakan nikmat Iman dan Islam itu kepada yang tidak tahu.."

Berat rasanya untuk menerima kenyataan itu. Bukan tidak setuju tetatpi itulah amanah.
Rupanya dia sedang berbicara tentang nikmat dan tanggungjawab. 2 perkara penting dan cukup besar.

Tepati masa untuk bersolat

Perkara akhir yang saya ingin kongsi adalah berkaitan dengan solat dan waktu. Dapat saya katakan, dia seorang yang bijak menjaga masanya. Apa tidaknya, setiap kali masuk waktu terus dia berhenti di masjid yang paling berdekatan dengan kami ketika itu. Memanglah perjalanan yang mencukupi syarat musafir digalakkan oleh Rasulullah untuk lakukan jama' qasar. Ditambah pula dengan waktu di awal waktu.

MasyaAllah, hebat! Dalam musafir pun mampu untuk menjaga waktu solat. Sepanjang perjalan setengah hari itu, dapat saya perhatikan di 2 masa waktu solat - Zohor dan Maghrib. Bukan kata awal waktu tunggu apabila dah solat tetapi kedua-dua waktu itu kami dapat bertakbiratul ihram sekali dengan imam. Alhamdulillah.

Siapakah dia?

Perjalanan mencari siapa

Banyak kali saya sebut 'dia' dan 'dia', bukan? Siapakah dia? Dialah salah seorang murabbi dan insan yang saya kagum. Si 'dia' itu bernama Dr. Azman.

Semoga Allah berkati segala perilaku dan kerjanya.

Akhir

Pepatah Arab ada menyebut,

"Hikmah orang tua, pada himmah (semangat) orang muda"

Satu pepatah yang cukup banyak makna tersirat. Benar. Sebab itu perlu untuk kita yang berjiwa dan berdarah muda untuk mencari hikmah orang tua. Disebabkan umurnya yang tualah penyebab kita perlu mencari mutiara yang terletak pada dirinya. Ketepikan semua sangkaan yang terbelenggu di fikiran kerana itulah penyebab kita sukar untuk mencari hikmah disebaliknya.

Akhir kata, mudahan Allah menerima segala amal yang telah dilakukan. Walaupun ada beberapa perkara lagi yang buat saya kagum dengan keperibadiannya, tapi cukuplah sekadar itu dahulu. Itu pun susah rasanya saya nak amalkan.

Wallahu a'lam..

Friday, September 16, 2011

16 September SEJARAH TRAGIS


Bismillah.. Dengan nama-Nya saya terus memanfaatkan masa..

Dunia kini. Pasti tidak terlepas daripada dunia yang lalu. Kemajuan yang diperolehi kita adalah usaha mereka yang hidup pada masa dahulu. Keteknologian yang canggih kini juga adalah daripada usaha mereka yang gigih pada masa dahulu. Perubahan persekitaran kini juga adalah disebabkan perubahan yang telah dimulai pada masa dahulu. Mudah kata, hubungan antara dunia, manusia dan sejarah tidak dapat dipisahkan. Antara mereka pasti berkait.

InsyaAllah pada hari ini saya akan cuba membawa kita untuk mengimbas kembali sejarah yang berlaku pada hari ini - 16 September. Satu tarikh yang cukup penting buat kita semua.

Saya yakin kita sekarang diprovokkan dengan taikh 16 September adalah tarikh buat negara kita terbina dan terbentuk. Ya, wallahu a'lam. Saya tidak tahu akan kesahihannya tetapi itulah yang kita pelajari, bukan? Dengan tarikh itu juga, kita telah diizinkan-Nya negara kita masih lagi hidup aman, tenteram dan damai. InsyaAllah.

Tapi, sedar tak kita ada satu lagi peristiwa yang cukup penting buat kita sebagai seorang Muslim disebalik tarikh 16 September. Jom kita lihat!

16 September 1982 - Tragis yang didiami dan terlenyap

Tarikh bermakna buat kita - tragis saudara seakidah kita disembelih di Shabra Shatila. Sebuah kem pelarian yang telah menempatkan ramai umat Islam dari Palestin. Pada tarikh itulah umat Islam dibunuh beramai-ramai dan disembelih tanpa ada perasan kemanusiaan oleh kaum yahudi Laknatullah dengan arahan terus daripada Menteri Pertahanan Israel pada masa itu, Ariel Sharon.

Peristiwa berdarah itu dikatakan berlaku selama 3 hari - bermula 16 September hingga 18 September. Peristiwa inilah yang menyaksikan pembunuhan lebih 3000 orang awam rakyat Palestin yang mendiami kem pelarian Sabra dan Shatilla (menurut laporan rasmi oleh Amon Kapeliouk, seorang wartawan Israel yang terkenal, namun pihak tentera Israel hanya melaporkan 700 hingga 800 nyawa sahaja, laporan rasmi Palang Merah antarabangsa pula menyebutkan 2,400 pada 22 September 1982). Peristiwa itu berlaku pada tahun 1982. Ianya merupakan satu tindakan keganasan yang tidak pernah terbayang akan dilakukan oleh manusia yang berakal, apatah lagi oleh sebuah kerajaan.

16 September 1982

Keesokannya 16hb September, Ariel Sharon dan Ketua Turus Tentera Israel telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Unit Militia Phalangist Lubnan, mengundang mereka masuk ke kem pelarian Sabra dan kem Shatila untuk membersihkan ‘sarang pengganas’. Mesyuarat tersebut berakhir pada 3 petang. Lewat petang 16hb September 1982, lebih kurang 150 orang unit pertama Militia Phalangist Lubnan yang merupakan sekutu kuat Israel masuk ke kem pelarian bersenjatakan senapang, pisau dan kapak masuk ke kem pada jam 6.00 petang.


Mereka terus membunuh orang-orang awam terutamanya pelarian ini dengan mengelar leher mereka, membunuh dengan kapak serta menembak mereka. Ramai di kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan ini telah dirogol bergilir-gilir terlebih dahulu. Pada malam yang sama, pasukan tentera Israel menerangkan kawasan kem dengan cahaya api yang membakar menyebabkan kawasan tersebut terang benderang seumpama stadium bola sepak, menurut saksi yang terselamat dari insiden tersebut. Dalam masa beberapa jam pertama itu sahaja mereka telah merogol, membunuh dan mencederakan ramai orangorang awam yang kebanyakannya adalah pelarian Palestin yang terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang-orang tua yang telah dikepung di dalam kem-kem tersebut.


Pada jam 11.00 malam, satu laporan telah sampai ke ibu pejabat tentera Israel di Beirut Timur yang mengatakan sekurang-kurangnya 300 orang telah dibunuh dalam tempoh 5 jam pertama. Di antara 36 hingga 48 jam kemudiannya, Militia Phalangist telah membunuh kebanyakan penduduk yang menghuni kem pelarian tersebut sementara tentera Israel mengawal laluan keluar kem dan terus memberikan sokongan yang maksimum terhadap pembunuhan ini.


17 September 1982
Pada Jumaat 17 September, laluan ke kem Sabra dan kem Shatila masih ditutup namun ada beberapa pemerhati bebas berjaya melepasi sekatan ketat tentera Israel. Di kalangan mereka adalah seorang wartawan dan seorang pegawai diplomat dari Norway, Gunnar Flakstad yang menyaksikan operasi pembersihan yang dijalankan oleh Militia Phalangist yang sedang membuang mayat-mayat dari rumah yang musnah dihancurkan.

18 September 1982
Militia Phalangist tidak keluar dari kem pada jam 5 pagi Sabtu 18hb September sebagaimana yang diarahkan. Mereka terus melakukan pembunuhan sehinggalah mereka meninggalkan kem Sabra dan kem Shatila pada jam 8.00 pagi 18hb September 1982. Para wartawan asing dibenarkan masuk ke dalam kem pada hari Sabtu, jam 9.00 pagi 18hb September yang menyaksikan ratusan mayat masih bergelimpangan di sekitar kawasan kem dan banyak di kalangan mayat ini yang dikelar-kelar anggota badannya. Diantara kata-kata saksi pelarian Palestin yang sempat menyelamatkan diri termasuklah:
”Tentera-tentera tersebut pergi dari satu rumah ke satu rumah dan memberikan amaran akan meletupkan rumah sekiranya mereka tidak keluar dari persembunyian.”
Ada saksi yang terselamat mendengar bahawa tentera Phalangist memberitahu satu sama lain supaya menggunakan kapak sahaja kerana bunyi senapang akan menyebabkan orang ramai sedar dan akan melarikan diri.
"Mereka membunuh abang ipar saya di depan mata kepala saya sendiri, saya melihat mereka menembak kepadaorang ramai. Mereka membunuh kesemuannya dan saya terus melarikan diri"
Tidak diketahui jumlah yang terbunuh secara tepat kerana sumber rasmi dari Israel mengumumkan bahawa ‘hanya’ 700 orang awam terbunuh. Sumber rasmi dari Lubnan pula menjangkakan kira-kira 1900 orang awam terbunuh. Manakala sumber berita Palestin pula mengatakan bahawa di antara 3000-3500 orang pelarian Palestin telah dibunuh, 1000-1500 telah hilang dan kira-kira 1000 orang yang lain telah melarikan diri.

Siapakan arkitek tragedi Sabra dan Shatila ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah Ariel Sharon yang merupakan bekas Perdana Menteri Israel. Dialah pemimpin pengganas yahudi yang pernah berkata:
"Saya berharap akan dapat menghalau keluar semua orang Palestin dari Gaza dan Tebing barat ke Jordan - (New York Times, 17hb Mei 1982). "Orang Arab yang baik adalah orang Arab yang telah mati"- (Ha'aretz, 25hb Februari 1983). “Saya merasa sedikit kesal terhadap tragedi tersebut tetapi kenapa perlu saya memohon maaf atau merasa bertanggungjawab terhadapnya”- (“The Accused” BBC- Panorama, 17/6/2001 ).


Tiada tindakankah?

Bukan sahaja tentera Zionis tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang serangan dan pembunuhan, malahan mereka membantu puak militia Palangist dengan tembakan-tembakan cahaya ke udara supaya pembunuhan dapat diteruskan pada waktu malam.



Siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Kahan di bawah arahan pemerintah rejim Zionis pada bulan Februari 1983 memutuskan bahawa Sharon telah bersalah secara langsung kerana membenarkan puak Palangist masuk ke kem-kem tersebut dan seterusnya gagal menghalang pembunuhan ribuan orang awam. Tentera Sharon juga membekalkan senjata dan peralatan kepada Palangist dan menyediakan pengangkutan untuk membawa masuk militia.



Walaupun sikap keji Zionis ini mendapat kutukan dunia, termasuk negara-negara Barat sendiri, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga Majlis Keselamatan PBB terus menunjukkan sikap dingin terhadap desakan supaya menghukum mereka yang ternyata bersalah.

PBB mengutuk tindakan zalim Zionis ini melalui Resolusi 521 (19 September 1982,) namun tidak pernah ada sebarang hukuman dikenakan terhadap Sharon, pemerintah mahupun tentera Zionis. Malahan ramai daripada keluarga mangsa-mangsa pembunuhan itu terpaksa membuat dakwaan secara sendirian ke atas Sharon.

Pada bulan Februari 2003, Mahkamah Tinggi Belgium memutuskan untuk membicara kes jenayah perang ke atas Sharon, tetapi Israel menuduh tindakan tersebut sebagai berbau politik. Pada bulan September 2003, memandangkan tidak seorangpun daripada mereka yang membuat dakwaan ke atas Sharon berbangsa Belgium, Mahkamah Tinggi Belgium terpaksa menggugurkan kes ini.

Mereka yang bersalah terus bebas dan merencana kezaliman demi kezaliman ke atas kemanusiaan, khususnya ke atas rakyat Palestin.

sumber:
http://suraukini.blogspot.com/2010/09/16-september-18-september-1982-umat.html

http://maszleemalik.blogspot.com/2007/09/mengingati-sabra-dan-shatilla-pada-16.html
http://julangkebenaran.blogspot.com/2009/06/sabra-dan-syatila-dalam-kenangan.html
http://akuseekorkuman.blogspot.com/2011/03/peristiwa-hitam-sabra-shatila-1982.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Penyembelihan_Sabra_dan_Shatila