PENGUMUMAN

HARAP MAAF.. LAMAN INI SEDANG DIUBAISUAI..

Thursday, March 29, 2012

PANDANGAN berkaitan Lagu, Song dan Nasyid


Bertemu kembali..

Alhamdulillah, seperti biasa kita merasai kesyukuran pada-Nya dengan sepenuh jiwa dan raga. Apa tidaknya, dengan izin Dialah kita dapat menghirup udara nyawa sebagai punca kita mendapat oksigen untuk meneruskan kehidupan di muka bumi-Nya, bukan?

Teringat saya, ada satu pepatah berbunyi, "sibukkanlah diri kamu dengan kebaikan, jika tidak kemungkaran/kemaksiatan akan menyibukkan kamu". Jadi, sama-samalah kita mengatur dan menyusun hari kita dengan manfaatkan masa yang ada.

InsyaAllah, kali ini saya cuba untuk berkongsi berkenaan dengan hukum, pandangan ulamak tersohor berkaitan dengan muzik. Ya. Saya sebenarnya suka mengkaji berkaitan pandangan dari ulamak berkaitan fiqh kotemporari. Tambah-tambah berkaitan dengan sesuatu yang tidak dapat asing daripada kehidupan manusia sekarang. Jadi, saya cuba untuk berkongsi dengan anda. (ayat macam poyo lah pulak kan? maaf, tak berniat..)

PENDAHULUAN

"Wow, sedap giler lagu tu. Dengan gitar dia petik menusuk kalbu aku.."

"Gitar? Weh, ulamak kata x boleh main alat muzik yang bertali.. Gitar kan bertali?"

"Ye la, tu aku tahu. Ayat kau macam tak pernah dengar lagu yang guna tali. Kau tak yah bohong lah.. Sekarang zaman lain doh.. Lagu banyak yang ada alat muzik macam tu.."

"Aku bukan apa. sekadar nak bagitau kat kau.. Lebih baik kau dengar nasyid, lagi baik.."

"Eh, kau ni syadid sangat la.."

Ok. Sekarang cuba kita lihat sedikit potongan daripada perbualan di atas. Apa yang kita mungkin dapat?

"realiti sekarang.."

"alat muzik bertali haram.."

"orang kedua tu syadid.."

Ya. Itu semua antara isi yang ada dalam teks dialog pendek tu, bukan? Tapi pernah tak kita terfikir untuk mendalami isu-isu sebegini? Pernah tak kita mencari maklumat untuk mencari jawapan isu-isu khilaf seperti ini? Mungkin ada yang pernah tapi seolah-olah tergantung dipertengahan. Jom sama-sama kita cuba dalaminya.
PENCERAHAN

Pertama: Istilah

Sebenarnya, masyarakat sekarang termasuk kita masing-masing masih kabur tentang penggunaan istilah. Apa yang dimaksudkan istilah di sini adalah lagu, song dan nasyid. Yang menjadi ketaranya adalah antara lagu dan nasyid (sebab song termasuk dalam lagu). Pandangan mereka adalah

"nasyid ni bukan lagu tapi sebuah lagu yang berkonsepkan ketuhanan dan tidak melalaikan.."

"sekarang, nasyid pun cinta-cinta saja. nasyid pun dah tak ada dengan lagu.. nak kata lalai, serupa saja"

Itu bukan antar responnya. Nampak tidak disitu. Dari segi konsep pun kabur lagi. Kata nasyid bukan lagu tapi masa penerangan "tapi sebuah lagu.. bla.. bla..bla..". Pelik, bukan? Itu lah realitinya. Tapi lagi pelik kalau ada yang berkata,

"lepas ni, setiap pagi masa row-call kita nyanyi lagu asma' ul-husna"

"lagu asma' ul-husna? ada ka? nasyid ada la.." (sambil pening-pening lalat)

"mm.." (senyum sambil geleng sikit kepala.. tanda sudah terkena)

Mereka juga menganggap nasyid ni untuk yang agak-agak islamik. tapi lagu adalah sebaliknya. Kejap, ANDA sebenarnya salah konsep!

Hakikat sebenar adalah ketiga-tiga istilah itu sama sahaja. Tiada bezanya dari segi isi maksudnya. Yang bezanya adalah lagu itu perkataan dalam bahasa melayu, song perkataan inggeris, dan nasyid perkataan arab. Itu lah bezanya.

Kedua: 3 Pandangan mengikut Islam

Ini adalah berdasarkan antara bahan bacaan saya. Maaf jika anda ada pandangan lain. Sekadar kongsi ilmu. Saya cuba petik daripada tulisan Ustaz Ridhwan Hj Hashim (bekas umam Masjid Subang Jaya, selangor).

Berdasarkan penilitiannya, terdapat 3 pendapat ulamak berkaitan dengannya.

1. Yang mengharamkan semua jenis dan bentuk alat muzik kecuali al dufuf (kompang atau rebana yang dipukul ketika majlis pernikahan) kerana terdapat hadis yang sahih mengenai keharusannya. Namun ia tidak harus memukulnya selain daripada majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur. Tetapi lawan pendapat yang masyhur adalah harus memukul alat rebana atau kompang dalam semua upacara majlis kegembiraan umat Islam.

2. Yang mengharuskan semua jenis dan bentuk alat-alat muzik. Mereka berpendapat bahawa yang haram itu bukalah zat atau ain alat muzik itu sendiri tetapi faktor-faktor luar yang mengiringinya itu yang menentukan sama ada ia menjadi haram atau sebaliknya.

3.  Yang mengaharamkan beberapa jenis alat muzik - iaitu al Mizmar (seruling atau semua alat yang ditiup seperti serunai dan seumpamanya), al Awtar (alat muzik bertali) dan Thoblu al Kubah (gendang kecil yang ramping di tengah) – dan mengharuskan selain daripadanya.

Ketiga: Hujah bagi 3 pandangan tersebut

Pandangan 1: Haram semua jenis

Berpegang pada dalil berikut:
  1. Diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:

    Bahawa Allah ‘Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan Aku supaya menghapuskan alat ma’azif (alat bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliah ………..( hingga ke akhir hadis ).
    ( Riwayat Abu Daud al Thoyalisi )

    Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam Abu Daud al Thoyalisi dan lafaz hadis ini dari riwayatnya dan juga diriwayatkan oleh al Imam Ahmad bin Hanbal. Ahmad bin Mani’Al Harits Ibnu Abu Usamah pula meriwayatkan dengan lafaz yang bermaksud:

    Bahawa Allah Azza wa Jalla telah membangkitkan Aku (menjadi Nabi) dengan membawa rahmat dan hidayat kepada sekelian alam dan Allah memerintahkan Aku supaya menghapuskan mazamir, ma’azif, arak dan berhala-berhala yang disembah pada zaman jahiliah ……..( hingga ke akhir hadis ).

    Hadis Abu Umamah ini terdapat pada rawinya Ali bin Yazid al Ilhani dan dia adalah lemah keadaannya, tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber yang lain seperti hadis Ibnu Mas’ud dan lain-lain sahabat maka hadis ini menjadi kuat. Antara hadis yang menyokong hadis itu juga ialah hadis riwayat Ibnu ‘Abbas r.a. yang telah berkata:
    الكوبة حرام والدن حرام والمعازف حرام والمزامير حرام
    Maksudnya: Kubah itu haram, dannu itu haram, ma’azif itu haram dan alat muzik jenis bertiup itu haram.

    Hadis ini diriwayat oleh al Imam Musaddad dan al Imam al Baihaqi dalam al Sunan al Kubra secara mauquf dan diriwayatkan oleh al Bazzar secara marfu’.

  2. Dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Aku diperintahkan untuk merobohkan alat gendang dan alat hiburan yang ditiup.
    Dikeluarkan oleh al Dailami

     
  3.  Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud: Apabila tiba hari kiamat, Allah Azza wa Jalla berfirman: Mana mereka yang menjauhkan pendengaran dan pemandangan mereka daripada alat-alat permainan syaitan? Asingkan mereka…..(hingga ke akhir hadis)
    Dikeluarkan oleh al Dailami

    Berkata al Imam Ibnu Hajar, hadis ini jelas menunjukkan pengharaman alat-alat hiburan yang mendatangkan sukaria dan gembira yang membawa kepada kelalaian.
  4. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang berkmasud: Satu kumpulan daripada umatKu pada akhir zaman, ditukarkan mereka menjadi monyet-monyet dan babi-babi. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, adakah mereka orang-orang Islam ? Sabda Baginda: Ya, mereka mengucap dua kalimah syahadah iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Aku adalah pesuruh Allah dan mereka mengerjakan puasa. Para sahabat bertanya: Mengapa mereka menjadi begitu, ya Rasulullah? Sabda Baginda: Mereka bermain dan berhibur dengan alat-alat bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita dan dengan rebana serta mereka minum berbagai jenis arak dan mereka bermalam dengan minuman mereka dan hiburan riuh rendah mereka, maka pada pagi hari mereka telah ditukarkan rupa menjadi monyet dan babi.

    Hadis ini diriwayatkan oleh al Imam al Musaddad dan Ibnu Hibban dengan lafaznya yang bermaksud: Telah bersabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam: Tidak berlaku hari kiamat sehingga ada satu kumpulan……..(hingga ke akhir hadis sebagaimana riwayat di atas ).

  5. Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alaihi Wasallam yang bermaksud: Akan berlaku pada umatKu oleh beberapa kumpulan atau kaum menghalalkan zina, sutera (dipakai oleh kaum lelaki), arak dan ma’azif (alat-alat bunyi-bunyian).
    (Hadis Riwayat al Bukhari dan Abu Daud)
Antara ulamak yang menyokong pandangan ini:
  1. Dalam kitab al Muhazzab oleh al Imam Abu Ishak al Syirazi ada menjelaskan bahawa bermain alat-alat muzik itu haram sekalipun tidak diiringi dengan lagu. Kata al Syirazi:
    ويحرم إستعمال الألات التى تطرب من غير غناء كالعود والطنبور والمعزفة والطبل والمزمار
    Ertinya: Dan diharamkan menggunakan alat-alat (muzik) yang dibunyikan tanpa ada lagu seperti gitar, thunbur, ma’zifah, thabl (gendang) dan mizmar.
     
  2.  Al Imam al Nawawi mengatakan dalam kitabnya al Minhaj dalam Kitab al Syahadat:
    ويكره الغناء بلا آلة وسماعه ويحرم استعمال آلة من شعار الشربة كطنبور وعود وصنج
    ومزمار عراقي واستماعها
    Ertinya: Makruh menyanyi dengan tidak disertai alat (muzik) dan mendengarnya. Dan adalah haram menggunakan alat (muzik) yang menjadi syiar peminum-peminum (arak) seperti thunbur, gitar, shanj dan mizmar ‘iraqi dan haram mendengarnya.
  3. Pandangan yang sama juga dikemukakan oleh beberapa ulamak besar yang lain seperti al Syeikh Ibnu Hajar dalam kitabnya al Zawajir dan juga al Imam al Ramli al Syafi’e sebagaimana tercatat dalam kitab Nihayah al Muhtaj ila Syarh al Minhaj (8/296), yang menggambarkan inilah pandangan umum dan masyhur dalam mazhab syafi’e.

    Ulama-ulama dalam mazhab syafi’e bukanlah satu-satunya mazhab yang mengharamkan hampir kesemua alat-alat muzik, bahkan didapati mazhab-mazhab yang lain seperti Hanafi dan Hanbali juga berpandangan sedemikian.
Demikianlah pandangan beberapa orang ulamak besar dalam mazhab syafi’e mengenai hukum menggunakan muzik dan mendengarnya.

Pandangan 2: Harus semua jenis

Berpegang pada hujah seperti berikut:
  1. Al Syeikh Mahmud Syaltut telah menjelaskan dalam fatwanya Al Fatawa Dirasah li Musykilat al Muslim al Mu’asir fi Hayatihi al Yaumiyyah wa al ‘Ammah di mana katanya:

    “ Mendengar alat-alat bunyian yang ada irama dan suara yang merdu tiada boleh dihukumkan haram sebagai ia suara alat atau suara manusia atau suara binatang. Hanya haram itu apabila digunakan pada perkara haram atau digunakan untuk tujuan haram atau ia melalaikan daripada perkara yang wajib pada syara’ ”.

  2. Dr. Ahmad al Syarbashi juga menghimpunkan segala fatwa ulamak dalam kitabnya Yas’alunaka ‘an al Din wa al Hayah dalam perkara mendengar muzik dan nyanyian. Daripada perbincangannya itu dapat disimpulkan bahawa beliau berpendapat, fatwa al ‘Allamah al Syeikh Mahmud Syaltut itu adalah pendapat pertengahan yang adil di antara ulamak yang mengharamkan dan ulamak yang mengharuskan dalam perkara muzik dan nyanyian itu.

  3. Al ‘Allamah al Syeikh Abdul Ghani al Nabulsi menegaskan dalam kitabnya Idhoh al Dilalat fi Sama’i al Alat -(Menjelaskan dalil-dalil dalam masalah yang berkait dengan hukum mendengar alat-alat muzik) - bahawa hukum haram segala bentuk alat muzik yang disebutkan di dalam hadis bukanlah disebabkan alat-alat muzik itu sendiri atau suara dan bunyian yang terhasil daripadanya. Kalaulah dihukumkan dengan sebab yang demikian, maka sudah tentulah bunyi-bunyian yang merdu seperti suara burung akan termasuk dalam hukum haram. Sedangkan ulamak telah bersepakat bahawa suara kicauan burung dan seumpamanya itu tidaklah dihukum haram. Bahkan menggunakan dan mendengar alat-alat muzik dihukum haram adalah disebabkan faktor-faktor luar yang haram yang beserta dengannya dan juga yang membawa kepada “ al Lahwu ” (perkara-perkara yang dengannya menyebabkan manusia lalai daripada melakukan ketaatan dan menunaikan kewajipan kepada Allah serta membawanya kepada melakukan perkara-perkara yang haram dan dilarang oleh syariat).

  4. Di antara ulamak mutakhir di zaman kita ini yang sependapat dengan golongan ulamak yang kedua ini ialah al Syeikh Dr. Yusuf al Qardhowi sebagaimana dijelaskan dan dihuraikan dengan panjang lebar dalam kitabnya Malamih al Mujtama’ al Muslim Allazi Nansyuduhu - ( Ciri-ciri unggul masyarakat Islam yang kita idamkan) - dan juga al Halal wa al Haram fi al Islam - ( Halal dan haram dalam Islam ). Dalam huraian tersebut beliau telah menolak hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh golongan yang mengharamkan alat-alat muzik dengan menyatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan mengenai alat-alat muzik adalah dipertikaikan akan kesahihannya.

  5. Bekas Syeikh al Azhar Fadhilah al Imam al Akbar al Syeikh Ja-du al Haq Ali Ja-du al Haq (telah meninggal dunia pada pertengahan 90 an) juga bersependapat dengan pendapat yang mengharuskan alat-alat muzik sebagaimana yang dapat dilihat dalam kitab himpunan fatwa-fatwanya mengenai persoalan-persoalan semasa yang bernama Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qodhoya Mu’asirah, juzuk ke v. Katanya, “ sebagai mengambil sikap jalan tengah antara pendapat-pendapat ulamak tersebut, maka kami lebih cenderung untuk berkata bahawa mendengar alat-alat muzik walau apa pun jenis dan bentuknya, menghadiri majlis-majlisnya dan mempelajarinya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang diharuskan. Dengan syarat ia tidak mendorong kepada membangkitkan nafsu syahwat, perlakuan-perlakuan tidak senonoh dan tidak disertai dengan arak, tarian-tarian, perkara-perkara yang buruk dan fasik atau digunakan untuk perkara-perkara haram atau ia digunakan sebagai wasilah atau alat yang membawa kepada berlakunya perkara haram dan mungkar atau ianya boleh melalaikan daripada menunaikan tanggungjawab dan kewajipan".
Pandangan 3: Mengharuskan beberapa alat muzik

Ini adalah pandangan di sisi Imam Al-Ghazali kerana alat muzik bertali dan seruling menjadi lambang kepada peminum arak dan khunsa. Hujahnya adalah dengan berkata bahawa syarak tidak mengharamkan alat-alat tersebut kerana kelazatannya. Jikalau ia hanya kerana kelazatannya maka perkara-perkara lazat yang lain turut dilarang. Ia dilarang atas dasar turutan (ittiba’). Apabila arak diharamkan, maka semua amalan peminum arak turut diharamkan bersama iaitu alat muzik bertali dan seruling.
  1. Ia boleh mengakibatkan seseorang itu meminum arak, kerana kelazatan yang ada padanya hanya akan sempurna dengan arak.

  2. Alat ini menyebabkan orang-orang yang baru meninggalkan arak mengingati kembali majlis-majlis hiburan yang dihidangkan dengan arak. Ini kerana majlis hiburan tersebut kebiasaannya diserikan dengan alat-alat muzik tersebut. Dengan itu apabila dia bermain dengan muzik tersebut, maka ia akan membawa kepada ingatan terhadap majlis itu. Ingatan akan mendorong kepada kerinduan. Dengan itu alat muzik tersebut menjadi penyebab seseorang yang telah meninggalkan amalan meminum arak kembali melakukannya.

  3. Terdapat ijma’ ulamak mengenainya, kerana ia telah menjadi amalan orang-orang fasik. Oleh itu ia dilarang kerana menyerupai mereka. Ini kerana sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk di kalangan kaum tersebut.

PANDANGAN SAYA

Bagi pendapat saya, saya lebih cenderung untuk memilih pendapat kedua yang mengharuskan semua jenis. Ini kerana 
  1. Ulamak-ulamak yang menyokong hujah ini adalah berijtihad berdasarkan ilmu syara'  dan peredaran semasa.

  2. Ijtihad mereka adalah memilih tahap pertengahan. Tidaklah begitu syadid dan tidak pula terlalu longgar. Tetapi, masih berlandaskan syara' yang utama.

  3. Asalkan niat dan tujuan adalah utama. Jangan sampai ke peringkat lagho (lalai) dan haram. Pengharaman itu adalah berpunca daripada tujuannya bukan alat muzik itu. Tidak kiralah ia muzik baik nadanya, bentuknya, liriknya dan alat yang digunakannya.

  4. Perlu ingat asal hukum muzik adalah harus sahaja. Bukannya wajib. Jadi, perlu bijak menguruskan dan bataskannya.

  5. Kata Zizan (Raja lawak) dan Ustaz Azhar Idrus, "jangan sampai jadi najis"
Begitulah perbincangan kita pada kali ini. Terbukti betapa Islam itu satu agama yang mudah dan tidak membebankan ummatnya. Cuma Islam meletakkan garis pandua agar tidak terhuban jatuh di persimpangan.

Wallahu a'lam..

rujukan:
  1. http://mindasuper.com/v2/index2.php?option=com_content&do_pdf=1&id=37
  2. http://halaqah.net/v10/index.php?topic=4909.0

No comments: