PENGUMUMAN

HARAP MAAF.. LAMAN INI SEDANG DIUBAISUAI..

Sunday, July 31, 2011

RAMADHAN tiba lagi

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Bismillah.. Dengan nama-Mu Ya Allah rahmatilah kami pada bulan mulia ini..

Hati kecilku terasa syukur teramat. Hari ini masa diisi bagai tiada rugi. Satu persatu tersusun rapi dengan izin Yang Maha Kuasa. Siang hari dengan pengkuliahan. Petangmya pula di balai cerap (walaupun bulan tidak kelihatan tapi berpeluang melihat planet zuhal dengan teleskop) dan malamnya pula dengan tarawikh yang lama dinanti. Subhanallah. Semua adalah perancangan-Mu Ya Allah. Saya bersyukur. Alhamdulillah.


Permandangan di luar Balai Cerap UniSZA

Artikel yang terdapat di sana

Menanti kemunculan anak bulan tapi gagal ditemui setelah dilindung awan
*tapi di Labuan jumpa anak bulan

Pejam celik dah tak sedar rupanya kita sekarang berada di bulan yang mulia lagi barakah. Kekadang ada sedikit kebimbangan di jiwa lemah ini, "bagaimanakah Ramdhan aku kali ini, ya. Persediaan pun belum rapi". Hendak atau tidak saya terpaksa terima hakikat bahawa saya sekarang berada di bulan Ramadhan. Persediaan sedikit yang dibekal sebelum ini biarlah dibawa terus dalam amalan seharian di bulan ini. Usah difikir perkara yang lepas tetapi fikirlah tindakan mendatang agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Itulah pegangan saya. Hanya Allah yang tahu segala-galanya.

RAMADHAN, BULAN MULIA

Bulan Ramadhan. Satu bulan yang teragung dan termulia di sisi Allah. Percaya atau tidak terpulanglah kepada kita untuk menentukannya. Apa yang menjadi hujah saya adalah bulan Ramadhan antara satu-satunya bulan yang dikhabar oleh Allah dalam Kitab-Nya yang Mulia yang telah disampaikan oleh Rasul yang mulia, Jom kita renung sama-sama firman Allah yang berbunyi,

"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
(al-Baqarah, 185)


Lihat, Allah sebut secara langsung dalam alQuran, bukan? Dah la dalam alQuran yang mulia, Kemudian dinyata pula pada bulan Ramdhan juga alQuran yang mulia diturunkan. Bukankah itu satu kenyataan bulan Ramadhan yang diacapkali disebut bulan puasa adalah bulan yang mulia?

Fikir dan renunglah..

3 Perkara yang tersirat padanya

Firman Allah,

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa"
(al-Baqarah,183)

Menurut al-ustaz Syed Qutb rahimahullah telah menghuraikan terdapat 3 mesej yang ingin disampaikan oleh Allah kepada manusia dalam alQuran iaitu IMAN, PUASA dan TAQWA. Dan kesemuanya itu berkait rapat antara satu sama lain tanpa berpisah.

Bagaimana hubungan antara kesemua itu?

Ok, cuba lihat ayat alQuran di atas. Allah telah memanggil orang beriman dengan panggilan yang khusus. Dan secara tak langsung itu membawa erti Allah telah memanggil dengan penuh kemesraan. Sebabnya, Allah tahu bahawa orang yang beriman sahaja yang mampu melaksanakan perintah Allah walau apapun keadaan sekalipun. Jadi, Allah memberi sedikit perintah - PUASA.

Jadi, natijah kepada orang yang dapat laksanakan perintah PUASA sebagai salah satu kewajipan dan disertai dengan ibadah-ibadah yang lain dengan penuh keIMANan maka Allah akan memberinya ganjaran TAQWA.

"Barangsiapa yang medirikan Lailatul Qadr (pada bulan Ramadhan) dengan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu dan barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu"
-HR Bukhari-

AKHIR KATA


Moga Allah memberi kekuatan kepada saya dan kalian untuk terus melakukan amal ibadat tanpa jemu pada bulan yang mulia ini dengan penuh istiqomah dan iltizam sebagaimana sabda nabi,

"Amal paling disukai Allah adalah amal yang berterusan (istiqomah) walaupun sedikit"
-HR Bukhari dan Muslim-

Sebagai penutup bicara, saya akhiri dengan sebuah hadis yang berbunyi,

"Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: ‘Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda. Allah berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia(orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku."
-HR Muslim-

Wallahu a'lam..

*sama2 rebut peluang yang datang dan belum tentu bertemu lagi. Jadi, saling ingat mengingatilah tentang Ramadhan ini. InsyaAllah..

Monday, July 25, 2011

KESILAPAN membawa PENGAJARAN

Bismillah..Kesempatan yang terluang saya cuba coretkan..



"Syahmi, macam mana assignment hadis kita? Semua dah hantar la..kita dah belum print lagi..hari ini hari akhir untuk hantar.."


Rungut aku kepada seorang sahabat sekumpulan denganku. Pagi hari ini bukan lagi seperti kebiasaan. Tenang dan damai sudah dilenyap oleh kedesakkan menyiapkan tugasan yang diberi sekitar sebulan yang lepas. Ketegangan lebih terasa pabila aku berada di kelas ganti subjek Hadis waktu malam semalam.

"Ok..Siapa yang belum hantar lagi assignment hadis boleh hantar sekarang ya.."

Nada sederhana lagi sahaja kedengaran ditelinga aku semasa di bilik GA05. Itulah suara ustazah Tasnim - pensyarah Hadis aku. Keheningan malam memecah kalbu kaum Adam. Bukan tidak tahu bila perlu hantar kepadanya tetapi biasalah sikap menangguh itu puncanya. Memanglah niat aku bukannya untuk menghantar tugasan itu lambat tetapi keselesaan suasana mempengaruhi kerja berkumpulan ini. Rasa menyesal sudah pasti. Aku rasa ini yang paling teruk aku lakukan - hantar tugasan selepas tarikh ditetapkan.

"Siapa tidak hantar malam ini akan ditolak markahnya.."

Suara Ustazah terus bersambung madah percakapannya. Jiwaku sedikit tersentak. Tetapi apa terdaya insan lemah ini. Hendak hantar tetapi belum print lagi. Sabar dan pasrahlah jawapannya. Cukuplah ini pengajaran buat aku.

************************

Hari ini. Tekad di hati kecil tiada yang lain melainkan aku mesti hantar juga pagi ini. Sungguh baik penyusunan-Nya pada hari ini. Kesempatan masa muncul dengan berita tiada pensyarah satu subjek aku pada hari ini. Maknanya aku mempunyai masa dalam 2 jam untuk menyerahkan hardcopy assignment hadis kepada pensyarah Hadisku.

Lantas aku terus pulang ke bilik bersama Syahmi untuk memperbaiki tugasan yang sudah 90% siap. Hanya printout yang belum. Kedesakkan masa yang pantas terus mengajar aku supaya menjaga masa yang diberi. Sungguh Allah banyak mengajar aku dalam keadaan tiada aku sedari.

"Alhamdulillah, siap juga akhirnya print! Sekarang jom pergi hantar dekat ustazah..Kita makan dahulu lepas tu pergi berjumpanya..Ok?"

Kepala aku mengangguk tanda setuju. Ketenangan sedikit terasa. Langkah kaki aku ringan sedikit.

***********************
Perjalanan pulang menuju ke bilik. Sedikit kegusaran di benak fikiran sedikit kurang dan diganti dengan ibrah yang mengerti.

"Assignment Hadis dah habis..assignment fiqh ibadat dalam proses..minggu depan dah tarikh akhir.."

Monolog dalaman aku berkata sejenak menghitung kerja apa lagi yang masih belum selesai. Tapi aku suka untuk berpesan pada diri, tugasan dan kerja tidak pernah tamat sehingga hayat dikandung badan. Benar.

"Esok malam ujian Nahu Saraf. Lusa petang pula Fiqh Ibadat dan malamnya Bahasa Arab. Esoknya pula tak pasti ada lab test ke tak. Minggu ni sahaja banyak betul ujian. Tapi, apa-apa pun aku perlu ada persiapan. Nak yang terbaik perlu ada usaha yang baik juga.."

Hati kecil aku terus berbicara sendirian memperingati aku yang sering alpa lagi leka. Moga Dia memberi sumber kekuatan untuk terus berusaha. Tapi, sumber itu akan dibantu dengan syarat aku perlu menjaga hubungan dengan-Nya. Mustahil Dia hendak memberi sesuatu tanpa usaha dan pengharapan aku kepada-Nya. Aku tidak mahu kejayaan diberi adalah kerana Istridraj(supaya lagi jauh daripada-Nya). Nauzubillah aku lafazkan.

Coretan seorang pemuda yang masih belajar tentang kehidupan.

Masa tidak pernah menunggu kita

Wallahu alam..

Pengajaran:
-Usah terpengaruh dengan suasana yang selesa.
-Masa tidak cukup dengan tanggungjawab yang diberi.
-Hubungan dengan Allah asas kejayaan hakiki.
-Kesilapan dalam kehidupan adalah pengajaran yang bermakna.
-Tabiat menangguh akan membawa padah akhirnya.

Sunday, July 17, 2011

NISFU SYA'BAN dan pandangan terhadapnya [update]

Bulan yang sering diperbualkan

Bismillah..Daku cuba mengisi sedikit masa untuk peringatan bersama..

Hari ini 16 Jun - semua kita sedia maklum bahawa malam ini malam yang sering diperkatakan iaitu Malam Nisfu Sya'ban. Jadi ramailah antara kita tiba sahaja hari ini seolah berubah perwatakan dan peribadinya. Tambahan pabila malam menjelma. Yang tidak pernah datang surau atau masjid pakat pergi. Yang bercakap kurang sopan pun mengurangkan pepatahnya. Yang jarang nampak membaca dan berzikir pun kembali membuka Al-Quran dan bacaan zikir yang lain.

(bagi yang faham apakah malam Nisfu Sya'ban lah)

FADHILAT NISFU SYA'BAN

Hadis,

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Sya'ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)."

(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)

REALITI

Jom kita lihat masyrakat sekarang. Maksudnya saya nak cuba ajak fikir tentang fahaman orang kita bila tibanya Bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadhan. Khususnya masuknya 15 Sya'ban. Apa yang mereka fikir?
(ini bukan nak ketengahkan kemalayuan ya..)

1. 15 Sya'ban hari buku kita diangkat.
2. Siapa yang ingat bulan ini, api neraka tak sentuhnya.
3. Amalannya baca yaasin 3x serta pohon doa.
4. Maaf memaafi antara satu sama lain.

dan banyak lagi.

Ok. Saya nak cuba kongsikan mengenainya.

Ada benar dan ada salahnya dalam memperihalkan 15 Sya'ban.

Malam 15 Sya'ban. Hari yang dikira sebagai buku kitab ditutup dan diangkap. Mm..itu boleh diterima. Tapi masalahnya tentang amalannya.

1. Mengenai hadis "barangsiapa yang mengingatkan kepada sesama manusia akan kehadiran bulan ini, maka api neraka haram baginya". Wallahu a'lam hadis itu didarjat mana. Tapi bagi saya sentiasalah saling peringat-memperingat dalam lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Bukankah itu lebih baik dari kita memfokuskan kepada sesuatu masa dan keadaan. Kita bukan ingin membuat, mengajak dan memperingati kebaikan hanya kerana sebab ada hari tertentu.

2. Mengenai amalan membaca Yaasiin sebanyak 3 kali. Amalan membaca Al-Quran memang baik dan mulia. Tambahan surah Yaasiin adalah ibu Al-Quran. Tidak salah membacanya. Cuma yang salahnya cara kita meletakkan niat membaca Yaasiin disebabkan sesuatu perkara adalah disebabkan ia perkara sunat.

Dalam hal tersebut tidak pernah jumpa dan dengar lagi kesahihan hadis yang memperihalkan tentang amalan pembacaan Yaasiin sebanyak 3 kali pada malam Nisfu Sya'ban. Wallahu a'lam.
(mungkin diri saya tidak cukup ilmu lagi).

3. Amalan yang mulia iaitu maaf memaaf antara satu sama lain. Tidak salah meminta maaf daripada orang lain. Itu satu amalan yang dianjurkan Islam. Jadi, teruskanlah beramal tanpa mengira masa dan keadaan. Bukan hanya disebabkan adanya 15 Sya'ban pakat semua minta maaf. Hari lain lakukan semula kesalahan. Itu suatu fenomena yang salah tangapan.

SALAHKAH?

Bagi saya tidak. Kita semua faham bahawa 15 Sya'ban merupakan hari buku amalan diangkat. Jadi, bukanlah kita nak pamerkan Allah dalam keadaan amalan kita buruk, bukan? Sebab itu semua pakat jadi baik. Takut-takut masa buku diangkat amalan yang dilakukan tidak baik. Ini bukan hipokrit tapi adab.

Cuba bayangkan kita dapat jemputan nak menghadap orang besar antara manusia - Raja atau Sultan. Bila tiba sahaja masa yang dijanjikan, kita pun pergi menghadap. Fikir logik manusia yang normal, bukanlah nak pamerkan dan persembah kat raja atau sultan dalam keadaan buruk , compang camping dan buah tangan pun kosong? Mesti kita akan pamer yang terbaik, kan? Jadi, cam tu lah kita.

TAPI..

INGAT! Kita bukan nak buat kebaikan sehari sahaja. Dan lakukan Ibadah pun dalam jangka masa tertentu. Tapi kita nak setiap masa yang diberi Allah diisi dengan perkara kebaikan dan dikira Ibadah kepada-Nya. Jadi, tidak salah untuk lakukan segala amalan yang baik itu pada hari ini. Yang penting NIAT perlu dijaga. Agar tidak salah landasan yang benar.

PANDANGAN SAYA

Tidak salah jika kita gunakan masa Nisfu Sya'ban sebagai NOKTAH BIDAYAH - iaitu masa untuk kita mula untuk berubah ke arah kebaikan. Tapi, jangan jadikan sebab nisfu sya'ban kita jadi baik.

KATA ULAMA'

Mungkin ada yang sukar memahami apa yang hendak saya sampaikan, bukan. Jadi, sebagai akhir kalam saya selitkan pula dengan pandangan dari sheikh besar lagi masyhur mengenai Fatwa Dr. Yusuf al-Qaradawi mengenai amalam-amalan khusus nisfu sya'baan:

Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka."

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya:

(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).

(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya).

(Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383).


Itu sahaja dari saya untuk peringatan diri sendiri yang alpa ini.

Wallahu a'lam..

Thursday, July 14, 2011

Apa yang aku MILIKI!

Hamba kerdil merenung sejenak

Bismillah diri lemah ini mulakan..

Hari malam begini begitu tenang dibuatnya. Keletihan pulang dari bandar masih hangat dirasa. Meneman teman yang ingin pulang ke kampung halaman. Alang-alang aku pun membeli tiket dengan tujuan yang sama - pulang ke rumah. Bukan manja tapi ada hal yang perlu dilaksana. Dan bukan juga aku berada tapi ada perkara perlu dikerja.

Aku dan potensi

Tiba-tiba aku terfikir sejenak tentang satu perkara. Apa yang ada pada aku?

Bagi aku setiap orang mempunyai kelebihan yang tersendiri. Itu sudah tidak dapat dinafikan oleh semua orang. Kata manusia memang begitu. Tetapi yang sukar adalah untuk mencari dimanakah peluang untuk meletakkan potensi dan kelebihan yang dikurnia itu seiring dengan apa yang Dia kehendaki.

Semakin jauh perjalanan semakin rasa diri aku ini semakin lemah dan rendah. Apa tidaknya, ke sana aku pergi, ke sini aku pergi masing-masing aku dapat melihat kelebihan yang tersirat dan tersurat yang mereka miliki. Walaupun kekadang kelihatan bersahaja dan sederhana bagai tiada kelebihan, tetapi hakikatnya dia mempunyai sesuatu yang tidak aku miliki.

Benar. Maha Kuasa hanya pada-Mu Ya Allah, menjadikan manusia begitu unik sekali.

Pabila aku renung sejenak, suara hati kecilku bersuara sebentar.

"Apa yang ada pada ku ya! Berilmuan! Tidak. Aku tidaklah sehebat orang lain. Berkempimpinan. Bukan juga. Ramai lagi yang lebih hebat daripada aku. Seorang pengurus yang hebat! Lagi bukan. Dengan diri aku pun kekadang terabai. Pandai dalam bidang IT! Tidak juga. Asas pun baru merangkak..."

Merenung dan terus aku merenung. Semakin hari semakin terasa diri ini terlalu kerdil di sisi orang lain. Itu bukan lagi dengan-Mu, Allah.

"Jadi, apa yang ada pada aku ya!"

Itu kenyataan dan persoalan yang masih aku fikir dan renung. Satu persoalan yang sukar untuk dibuat keputusan. Dan satu persoalan yang perlu difaham selepas memahami persoalan "Siapakah aku sebenarnya?". Aku tahu aku di sisi-Nya hanya hamba dan Dia beri kepada aku tanggungjawab memimpin membawa diri dan orang lain kepada-Nya. Tapi, jika potensi dan kelebihan diri aku pun tidak tahu, bagaimana aku nak guna peluang untuk sebarkan dalam kehidupan bahawa Islam satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh.

......

(Itulah antara salah satu dialog aku dengan aku suatu masa). Moga diri ini terus ditetap-Nya atas jalan yang benar.

Wallahu a'lam..

Saturday, July 09, 2011

Coretan: Hidupku di DESTINASI BARU

Bismillah diri lemah ini mula menulis..

Moga Dia memberkati segalanya dan itulah yang didambakan oleh hamba daripada tuan pemilik hakiki.

Ketenangan dirasai hari ini

Hari ini cuaca sangat mendung di bumi UniSZA. Angin mendayu lembut sehingga menusuk ke kalbu penuntut ilmu di sini. Matahari tidak pula kelihatan menyuluh tanah. Mungkin disebabkan awan kelabu melindung pencahayaan itu. Tidak mengapa, itu bukan persoalan aku untuk menentukan perjalanan alam ini. Tetapi benar sungguh suasana di pagi hujung minggu di sini sungguh sunyi. Entah apa yang dilakukan.

Termenung sendirian pabila teringat masa yang sudah berlalu dan pasti tidak akan berputar kembali. Dahulunya aku dipayungi dan dilindungi. Tapi, sekarang masa aku dilepaskan daripada berada di zon perlindungan. Medan, itulah nama yang sesuai bagi diri aku. Kekadang, jiwa ini cepat luntur disambar ujian dan kekadang, berasa izzah juga dengan Islam yang difahami dan dianuti. Moga itu berkekalan.

Apa keputusan?

Soalan pendek namun sukar diputuskan

"Suhaib, hang dapat mana dan lepas ni hang pi sambung mana..?". Seorang sahabat menyapa bertanya soalan beberapa masa selepas sahaja keputusan UPU keluar. Terasa entah ke mana aku ingin meneruskan pengajian. Andai ikut tawaran memang mendapat UniSZA walaupun ia bukan pilihan pertamaku. Hendak mengatakan menerus pengajian di sekolah lubuk tarbiyahku boleh sahaja, MATRI juga menawarkan pengajian STAM. KTD, ada juga hasratku untuk ke sana. Itu tidak lagi kolej-kolej yang beratur mencari pelajar baru. Itulah jawapan yang aku mampu jawab walaupun masih kabur dipandanganku ketika itu.

Aduh! Susah betul membuat pilihan. Terasa lebih sukar daripada menjawab soalan SPM. Ini soalan berkaitan perjalanan dan bekalan hidup. Hanya Dia sahaja yang tahu mana yang terbaik dan sebaliknya. Dan Istikharah jawapan dan penentu yang terbaik untukku terus menjalani kehidupan.

Hikmah di sini

Kini, alhamdulillah Dia meletakku di suatu tempat di tengah-tengah masyarakat. Dahulunya hanya sekadar dengar dan diberitakan tentang realiti masyarakat, kini aku melihatnya dengan mata kepala sendiri. Benar kata murabbiku di sana, masyarakat hari ini kegersangan disebabkan kabur daripada hakikat penciptaan sebenar. Itulah realiti.

Pabila memahami, terdapat satu lagi tanggungjawab secara tidak langsung diletakkan dibahu setiap insan yang memahami hakikat penciptaan selain daripada tujuan menuntut ilmu. Bukan bermaksud aku adalah orangnya kerana memiliki ilmu yang tinggi atau orang yang hebat tentang agama. Tetapi ini sebenarnya bebanan bagi sesiapa yang faham untuk sampaikan kepada yang lain. Pendek kata kerja kita semua. Tetapi aku perlu ingat, ada dua perkara yang perlu difahami dalam bersama memikul tanggungjawab besar ini:

1. Allah tidak beban kepada hamba-Nya kecuali benar dia mampu lakukannya.
2. Tidak terdaya untuk aku lakukannya keseorangan dan sangat perlu kepada jama'ie.

Tersungkur dari terus melaksanakan tanggungjawab ada masa terjadi dalam hidupku. Hatta kekadang diri ini pula yang merasai kegersangan dan kekosongan jiwa. Tetapi, aku sebagai manusia tidak mahu diri ini semakin luntur. Apatah lagi aku sebagai seorang yang mengaku Muslim tidak mahu hari ini lebih buruk daripada semalam. Perlu aku kepada resolusi. Tarbiyyah Dzatiyah jawapannya dalam mentazkiyatun nafs dan berdampingan dengan insan-insan yang memahami hakikat kehidupan. Itulah sumber kekuatan aku dalam keadaan tiada kenalan yang berpendidikan sama dengan aku di MATRI. Satu sahaja yang aku yakin, Allah berhak memberi taufiq hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia ingin dengan memahami Deen-Nya. Jadi, tidak perlu dikhuatir dengan perkara itu. Allah Maha Kuasa berhak menjadikan apa-apa sahaja yang dikehendaki. Sebab itu, aku tidak perlu pelik ada insan-insan di sini jauh lebih hebat dalam hakikat kehidupan dan perjuangan.

Penutup bicara

Masih dalam perjalanan menuju kejayaan hakiki

Kini, umurku di UniSZA sudah menjangkau lebih dari sebulan. Dan perlu faham perjalananku dalam menamatkan pengajian di sini bukanlah suatu jangka masa yang pendek dan singkat. Perlu untuk aku kepada kekuatan jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Apa yang dihajati aku adalah untuk dapat terus bertistiqomah dalam menjalani syariat Allah dan berdoa daripada jatuh dalam persimpangan menjurus kekaburan.

Wallahu a'lam..

Nukilan dari hamba yang dambakan cinta-Nya
di bilik blok Khansa', UniSZA
9/7/2011

Friday, July 01, 2011

Hidup kita seperti RODA BERGERAK

Roda - tajuk perkongsian kita kali ini

Bismillah daku lafazkan..

Ayuh bersama kita mengatur syukur kepada-Nya yang abadi kerana masih terus menerus memberi nikmat kepada kita. Alhamdulillah kita ucapkan sebagai salah satu bukti kita bersyukur dengan pemberian nikmat-Nya kepada kita.

InsyaAllah kali ini saya akan tampil di laman ini dalam berkongsi peringatan untuk diri saya dan pembaca laman ini yang bertajuk 'hidup kita seperti roda yang bergerak'.

PENDAHULUAN

Roda. Satu benda yang membawa erti sesuatu yang berbentuk bulat dan mampu bergolek, betul? Ya, pabila dikatakan roda itu bergerak atau bergolek, ini bermaksud tidak selamanya berada dalam keadaan statik.

Apa maksud itu?

Ya. Statik di sini bermaksud - setempat. Tetapi hakikat roda tidak begitu. Kadang-kadang berada di atas, adakalanya berada di bawah dan ada masanya berada di depan dan begitu juga sebaliknya ad ketikanya berada di belakang.

HIDUP KITA

Jadi, begitulah juga dengan kehidupan kita.

1. Tidaklah setiap masa kita berada di peringat atasan. iaitu hanya memimpin. Memang benar kita perlu jadi pemimpin yang sentiasa merancang, mengarah, mengatur dan sebagainya tetapi perlu juga untuk kita bersedia ada masanya dipimpin. Sebabnya pabila 'mindset' kita hanya mengarah atau mengatur orang, kadang-kadang pabila diizinkan Allah dia tidak bersedia untuk dipimpin, diarah dan diatur.

Itu perlunya kita sedar hidup kita seperti roda yang bergerak dan bergolek - kadang-kadang di atas, kadang-kadang di bawah, kadang-kadang di depan dan kadang-kadang di belakang.

2. Masih dalam ruang topik kali ini. Semasa berada dalam perbincangan. Perlu ada kalanya kita melontarkan pendapat, pandangan dan ideal yang bernas. Tetapi, ada ketika kita terlupa dan tidak terfikir kita sahaja yang melontarkannya disebabkan ahli yang lain memahami jika dilontar pun sebarang pandangan tidak diterima oleh kita secara bulat-bulat walaupun ada baiknya pendapat mereka tersebut.

Ini menunjukkan kepada kita, apabila tidak persediaan untuk jadi orang di bawah yang menerima pandangan orang lain begitulah jadinya. Hatta, hingga akhir kehidupan kita pun tanpa ada rasa untuk mengubah perspektif bahawa kita sahaja yang benar dan betul tetapi terlupa adakalanya ia batil akan terus dibiarkan menjadi batil dan kekecewaan akan menyelaputi diri gara lontaran pendapat tidak diterima orang - mungkin batil atau tersimpang dari landasan tanpa sedar.

PENUTUP

Setakat itu sahaja sedikit contoh buat diri ini fikirkan. Mudahan menjadi titik mula untuk terus difikirkan hidup ini tidak selalu berada di atas.

Wallahu a'lam..