PENGUMUMAN

HARAP MAAF.. LAMAN INI SEDANG DIUBAISUAI..

Monday, March 26, 2012

Mudah Ingat MATI tapi sukar bersedia untuknya

Mati. Satu lumrah dalam kehidupan manusia. Hendak atau tidak pasti merasainya.

Sekarang. Mudah sekali mendengar soal mati. Pergi ke mana-mana pun ada saja yang menyebut tentangnya. Di sanalah, di sinilah, dan sebagainya. Tidak terlepas juga media massa yang bergiat aktif mencari berita dan maklumat semasa. Kebanyakkannya semuanya adalah berkaitan dengan mati.

Cuma berbezanya adalah keadaan dan jenis mati seseorang itu. Ada yang mati ditikam, dirogol, dibakar, dibunuh kejam, dibuang, ditimpa pokok dan banyak lagi. Itulah realitinya.

Hah. Baru semalam pekan Kangar, Perlis ditimpa sedikit bencana - ribut. Walaupun tidaklah begitu kuat tapi sudah cukup sebagai peringatan dari Allah kepada mereka yang berfikir. Tanpa diduga, dalam beberapa jam dah beberapa dahan pokok sudah tumbang. Atap-atap zink pun dah mula tanggal dari tempatnya. Itulah kuasa Tuhan. Wallahu a'lam ada yang mati atau tidak. Tetapi, apa yang ingin diberitahu boleh sahaja Allah ingin ambil nyawa seseorang dengan assabab itu.

DEKAT KITA PUN SUDAH ADA TANDA

Dalam diari hidup saya pun ada beberapa masa yang cukup saya ingat sebagai peringatan mengingati mati ini. Dengan pengalaman motosikal ada. Kereta pun ada. Belum kira yang berlaku kepada orang sekeliling saya lagi. MasyaAllah, semua itu mengingatkan saya akan kematian. Kesannya, apabila menunggang moto atau bonceng moto, ingat sahaja akan kematian boleh menjelma pada bila-bila masa. Begitu juga dengan memandu kereta atau berada di dalam kereta.

Itulah tanda-tanda yang dekat bagi kita sebagai peringatan. Hanya sekadar sedar atau tidak sahaja masalahnya. Manusia katakan.

PERSOALAN


Mengapa walau saban hari ada saja peringatan berkaitan mati namun diri tetap sama? Dengar dan sebut pasal kematian pun dah kita tahu ia akan tetap bertandang. Sampai secara tak langsung adakala mulut berbunyi sebgeni, "setiap hari, bunuh.. bunuh.. dan bunuh..". Dan bukankah bunuh salah satu daripada kematian. Erm.. Renung-renungkanlah. Ya. Mudah disebut namun sukar dinyatakan.

Itulah persoalan yang patut ditanya. Walaupun banyak peringatan yang menjelma hatta seribu pun pasti tidak akan membawa perubahan terhadap seseorang andai dia tidak benar-benar mengimani Allah dan Hari Kebangkitan. Dan itulah puncanya terhadap permasalah ini.


Usah dinilai dengan orang lain. Memadai dengan kita tujukan kepada diri kita sendiri yang sering terlupa. Cuba kit fikir-fikir, beberapa kerap kita mempersiapkan untuk menghadapinya. Namun, kebanyakkan masa seharian kita dihabiskan begitu saja, bukan?

Bagai tiada yang bakal bertandang menjemput. Bagai kita hidup beribu-ribu tahun lamanya tanpa akhir. Bagai dunia hanya sekadar satu dunia yang hanya ia saja ada. Hakikat oh hakikat.

RESPON KITA

Sudah tahu apakah itu mati, ayuhlah kita semaikan bekalan selepasnya. Hidup kita bukanlah terlalu panjang jika nak dibandingkan dengan umat terdahulu. Umur 60-70 dah Allah panggil pulang. Kalau sampai umur 80-100 tahun tu, rezeki namanya. Extra point untuk kita sebagai hamba-Nya. Tapi, usah dilupa, umur muda pun dah banyak yang Allah panggil pulang sehinggakan ada saja baru lepas nampak dunia itu apa sudah dipanggil pulang. Itu belum lagi yang umurnya lingkungan remaja dan pemuda.

Kuasa Tuhan siapalah tahu. Hanya Dia yang mengetahui segala-galanya. Respon kita hanya bersiap bertempur dengannya. Andai baik amalan kita, baiklah bekalan untuk dibawa bersama. Jika buruk amalan kita, buruklah bekalan untuk dibawa bersama.

PENUTUP

Manusia tidak terlepas daripada membuat kesilapan, bukan? Tapi, pintu taubat Allah juga tidak pernah tertutup, bukan? Jadi, ayuh kita padamkan dalam minda kita tiada harapan lagi untuk diri. Yakinlah Allah sediakan banyak lagi jalan untuk kita kembali kepadanya. Gagal pintu ni, berusahalah cari pintu yang lain untuk kembali kepada-Nya. Allah Maha Menerima Taubat.

Yang penting usaha. Berusahalah dengan sebaik mungkin. InsyaAllah ada jalannya.

Wallahu a'lam..
Hidup dan masa perlu diisi, jikalau tidak ia akan terisi ^^

Sunday, March 25, 2012

Seminggu di PERLIS

Umpama yang aku nisbahkan 

Mulut orang kata,

"Ni nak buat blog ke tak?"

"Macam hangat-hangat tahi ayam je blog ni"

"Awal-awal semangat, dah lama emm.."

Mungkin ada yang berkata begitu, bukan? Tetapi bagi saya, saya akan kata begini.

"Alamak! Lamanya tak update laman ni. Ish.. ish.. ish.. ", hati berbicara sambil menggeleng kepala.

"Ni bukan untuk nak publish untuk ramai-ramai.. sekadar mengingatkan diri ja. Kalau ada yang singgah, moga dapat manfaat bersamalah"

"Hang ni, kut bagi semangat. Apa la hang ni.."

"Tak sempatlah nak update.. entah la sebab apa.."

Emm, itulah hakikat dan realitinya. Nak ikut kata orang susah juga. Nak ikut kata diri pun juga susah. Sebabnya, banyak sangat tafsiran. Ada yang positif, ada pula yang negatif. Ada yang pembakar semanga, ada yang pemadam. Ada yang tak kisah, ada yang sebaliknya. Senang kata, macam-macam ada. Yang manakah patut saya ikut?



[Renung kejap..]

"Yang mana ya? Yang itu ka, yang ini? Tapi sebab apa keluar soalan ini dahulu?"

Itu persoalan yang timbul. Walaubagaimanapun, alhamdulillah saya jumpa jawapannya dengan satu persoalan lain.

"Sebab apa aku tulis blog ah? Untuk apakah?"

Ya. Itulah persoalan yang selayaknya bagi menjawab persoalan pertama tadi. Jika aku nisbahkan aku seorang penulis yang hebat, itu bukanlah aku. Jika dinisbahkan aku seorang blogger yang hebat, itu bukanlah aku. Masih ramai lagi yang jauh lebih hebat. Tetapi, aku cuba berusaha ke arah itu. Namun, ia sangat sukar. Tidak seperti fasih di mulut.

Jadi, aku hanya seorang insan yang suka diperingati. Dan itulah aku. Itulah saya. Itulah ana.

Sebab itulah saya jadikan laman ini sebagai sebahagian daripada bahan motivasi, peringatan, muhasabah dan renungan untuk saya mengimbas semula siapa diri aku sekarang ini. Tidak semestinya orang lain yang sahaja yang boleh sumber peringatan, bukan? ^^

SEMINGGU DI PERLIS

Alhamdulillah, hari ini dapat juga saya terus berkarya. Agak lama tinggal kerjaya ini. Emm.. kakulah sedikit ya. InsyaAllah. Hri ini saya nak berkongsi tentang seminggu saya di Perlis. Walau baru saja seminggu di negeri tempat saya dibesarkan - Perlis, sudah macam-macam telah diisi. Ada yang baik, ada yang buruk. Dan itulah lumrah. Dah masuk hari ini maka cukuplah seminggu saya berada di rumah bagi mengisi masa cuti mid-sem saya. Antara aktiviti istimewa buat minggu ini adalah:

1.  Ziarah MATRI.

Itu semestinya bagi saya bila jejak semula ke negeri sendiri. Apa yang tidaknya, di situlah tempat saya disuburkan dengan kefahaman, nilai-nilai Islam dan apa itu Dakwah dan Tarbiyah. Jadi, satu kerugian kalau tidak kenangkannya. Walau tak kesemuanya 'isi' MATRI sempat saya ziarahi, namun dah memadai sebilangan kecil - sahabat-sahabat seumur. Dapat sembang dengan mereka pun dah alhamdulillah.

2. Ziarah sahabat-sahabat UiTM.

Dapat juga bersua dengan beberapa orang sahabat di sana. Macam-macam topik keluar. Itulah, inilah. Senda ketawa semestinya.

3. Mengail ikan dan menangkul ketam di Kuala Perlis.

Yang ini pengalaman baru juga. Sebab buat kerja-kerja di di tengah malam. Tapi agak kurang sikit. Tunggu punya lama-lama tapi ikan tak dapat cuma ketam sahaja yang dapat. Masa saya ada hanya 2 ekor tapi itupun anak. Selepas beberapa lama kemudian, sahabat saya bagitau kata dapat lagi 2 ekor. Tapi kali ini bukannya anak tapi bapak. Yang jelesnya, ada satu kelompok lain yang tidak jauh dari tempat kami dapat ikan. Pergh, ikan sembilang pula tu. Dah la besar. 2 ekor pula. Masak gulai mesti sedap. Apa-apapun, itulah rezki namanya. Mungkin itu hari dia.

4. Jogging bersama orang lama.

Yang ini pula saja pergi menyibuk program orang lain. Jemput orang kedah, tapi yang saya (orang perlis) pula yang pergi. Nak isi masa dan 'charge' iman orang kata. Ni juga antara pengalaman. Maklumlah, saya cuti tapi orang lain tak cuti. Jadi, saya pergilah sorang ke sana (dari Kangar ke Jitra). Perjalanan 1 jam lebih sedikit sehala dengan bertemanlan kereta. (purata kelajuan 100 km/j - 140km/j.. Nak kejar masa katakan sebab hari itu hari Jumaat) Huhu..

Pendek cerita, sampai sana jogging 5 km, ada pengisian dari Sir Abduh (guru MATRI) dan pulang semula ke rumah. Memang letih la. Ikut mata macam nak pejam saja. Memang masa itu kekuatan hanya dari Dia sahaja. Tapi disebalik itu semua, saya dapat pengajaran betapa bahayanya bawa dalam keadaan terlalu letih dan mengantuk. Bila-bila masa pun boleh berlaku yang tidak diingini.

5. Jadi dreba (driver).

Memandangkan Allah izin lesen dah ada, lepas tu dah ada di rumah, kenalah jadi dreba untuk adik-adik dan umi ke sekolah. Walaupun mereka semua satu sekolah tapi masa tidak pulang tidak sama. Ada yang ada kelas tambahan habis lambat, ada yang awal, cikgu dengan hal cikgunya. Memang letih jugaklah duk ulang alik.

Tapi, dari sini saya belajar sesuatu. Betapa besarnya pengorbanan ibu ayah dalam membesarkan kita., menyekolahkan kita dan menahan karenah kita. Jika tiada kesabaran mampu saja bagi mereka membiarkan kita begitu sahaja dengan tidak endahkan kita. Tapi disebabkan adanya kasih-sayang dan pengorbanan, mereka tetap tabah menghadapinya.

6. Jumpa adik di MASDAR.

Satu-satunya ahli keluarga yang jarang di rumah selepas saya adalah adik lelaki saya ni. Ahmad 'Imran bin Ahmad Zahir namanya. Maklumlah dia lelaki, saya juga lelaki, jadi mudahlah masuk 'kepala' sedikit.

Punca ter'list' dalam perkara yang istimewa kerana tahun ini tidak sempat saya tengoknya setelah di masuk asrama di Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR), Kodiang, Kedah. hajat hati banyak kali dah nak jumpa tapi tidak diizinkan-Nya lagi. Kebetulan, hari sabtu ada kenduri di 'area' itu juga. Jadinya, saya sekeluarga pergilah ambilnya untuk dibawa bersama makan kenduri saudara-mara di situ. Banyaklah 'mulut' duduk bersamanya. Itulah, inilah, dan macam-macam.

PENUTUP

Bagi akhiri, tidaklah berhajat bermadah panjang. Cukup sekadar dengan satu kata-kata, "Hidup dan masa perlu diisi, jikalau tidak ia akan terisi".

Friday, November 18, 2011

MUSIM BARU untukku

 'Buah' cerita untuk kali ini. Hujan.

Bismillahirahmanirrahim..

Alhamdulillah saya syukur sebab Dia masih lagi beri keizinan untuk terus hidup di muka bumi-Nya dan meng'update' laman yang makin penuh dengan 'sawang'dan 'habuk'. Mungkin sebab lama tak jenguk dan membersihnya. Bukan tak berhajat lagi untuk meng'update' tapi masa dan ketiadaan internet di bilikku antara penyebab saya sekarang jarang melibat diri dalam laman sosial sebegini rupa.

Walaubagaimanapun, dengan kelapangan yang ada saya cuba 'cuci' sedikit laman ini dengan menambah post. Walaupun tak seberapa tapi saya sudah memadai. Apa dia? Hehe.. jom baca.

KHABAR DI SINI

Sekarang. Musim tempat saya belajar sudah tidak seperti dahulu. Maksudnya sebelum saya cuti sem saban hari. Maklumlah, orang sini kata masuk bulan 11 memang macam ini. Apa yang cuba dimaksudkan?

Emm,,, Musim hujanlah. Orang di sini kata, negeri-negeri sebelah timur ni kalau dah masuk bulan 11 ke atas memang kaya dengan 'air'. Duduk tak duduk hujan turun, kemudian berhenti sekejap, kemudian turun semula. Awan yang biru bertukar kelabu. Jadilah seperti dunia yang baru - suram, redup dan tak bermaya. Tapi, orang kata kalau hujan turun maksudnya rahmat turun sekali, kan? Mungkin benar kenyataan itu.

Apa-apa pun yang terjadi, kuasa hujan ini bukanlah ditangan manusia, bukan? Jadi terimalah dengan seadanya. Campakkan 'buah' positif ke dalam 'raga' fikir. Mungkin ada hikmah disebalik yang terjadi.

Tapi kan, kekadang kalau fikirkan balik tempat saya belajar dah macam tak tentu yang mana satu pagi dan petang. Mungkin ada tak percaya. Dan mungkin sebab ramai manusia tersungkur dalam buaian lena. Hehe. Termasuklah penulis juga. Apa-apapun cuba sedaya upaya tuk melawan.

Jom lihat gambar dibawah..




 Sekali pandang macam waktu pagi, bukan? Emm.. tapi itulah hakikat dikala petang hari. Sinar matahari pun makin menyelimut Sang Mentari. Kadang-kadang terus menyembunyi diri. Hehe. 

Jika dahulu, beginilah rupanya jika saya lihat dari ruang koridor luar dari bilik saya.


Berbeza, bukan? Ya. Memang terlalu berbeza. Suasana cerah, panas dan perit musimnya telah berlalu. Dan kini bukan lagi di musim itu, Sekarang di MUSIM BARU. Cuma kadang-kadang sahaja siang menjadi sedemikian rupa. Nak kata bagaimana lagi, entah lah. Kehendak Tuhan katakan.

PENUTUP

Jadi, setakat itu dahulu dari saya. Mungkin sudah cukup untuk sampaikan khabar berita untuk 'orang di kampung' yang sering menunggu khabarku di sini.

Akhir kata,

Biarlah apa yang terjadi atas kuasa Tuhan terus terjadi kerana itulah TAKDIR..
Usahlah kita di bumi terus mempertikai kenapa begini terjadi dan apa sebabnya..
Tetapi teruslah memikir akan yang POSITIF..
Pasti ada HIKMAH disebalik kesemua itu..

Wallahu a'lam..

Sunday, October 30, 2011

10 HARI AWAL Zulhijjah


Bismillahirahmanirahim..

InsyaAllah kesempatan yang ada saya ingin berkongsi sedikit tentang bulan Zulhijjah.

PENDAHULUAN

Bulan Zulhijjah merupakan antara satu bulan yang cukup tinggi nilainya di sisi Islam. Kenapa? Kerana 10 hari terawal Zulhijjah telah disebut di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi SAW akan keberkatan yang dilimpahi Allah - satu berita yang tidak dapat disangkal lagi keshahihan kerana ianya adalah wahyu dari Allah SWT sendiri. Jom bersama kita lihat satu per satu!

Di dalam Al-Quran, Allah SWT menyebutnya dalam surah Al-Fajr, ayat 1-3;


al-fajr2 
"Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah), dan yang genap dan ganjil"

Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin. Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah. Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh dengan kelebihan. Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah kerana berlakunya lailatul qadar.

Apa kata Nabi SAW pula?


“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”
(HR Bukhari)

“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah). 
(HR Ahmad)

“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” 
(Riwayat Muslim)
Dan banyak lagi hadis berkaitan dengannya. Boleh anda mencarinya sendiri di rata-rata tempat sama ada dalam kitab atau laman sesawang. Tapi kenalpastilah dahulu ia benar dan shahih!

APA AMALAN YANG DIANJURKAN?

1. Tidak lain dan tidak bukan sudah tentu ibadah Haji dan Umrah yang akan menjadi sebaik-baik amalan. Antara hadis yang berkaitannya ialah ;

“Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah – . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi ;

“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim Rahimahullah pula meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

 3. Hari yang digalakkan untuk beribadah tidak kira bentuk apa-apa pun sebagaimana hadis nabi ;

"Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, “Bukankah jihad fi sabililllah?” Jawab baginda, “Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit.” 
(Riwayat Al-Bukhari)

 4. Melakukan Ibadah korban. Sebagaimana dalam Al-Quran telah menyebut di dalam surah Al-Hajj, ayat 37 :

 "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."

Ada banyak lagi amalan yang boleh dilakukan padanya dan di atas adalah sebahagian.

KESIMPULAN

10 hari awal bulan Zulhijjah initidak kurang hebatnya dengan hari-hari dalam bulan Ramadhan misalnya. Kehangatan yang dirasa dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan seharusnya dirasa pada 10 hari terawl bulan Zulhijjah. Mudahan amalan-amalan yang dilakukan padanya diganjari Allah SWT sebagai amal soleh dan mendapat pahala dan rahmat dari Allah SWT.
SELAMAT MENJALANI IBADAH!

Wallahu a'lam..

*Anda juga boleh membaca lebih artikel yang berkaitan dengan 10 hari Zulhijjah di:

dan lain-lain..